PRU15: Berjasa bakal beri saingan di Parlimen Sepang
SHAH ALAM - Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Yang DiPertua Berjasa Bahagian Sepang, Yuri Kurniawan Budi berkata, Berjasa Bahagian Sepang juga sudah melakukan gerak kerja masyarakat di kawasan berkenaan sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, lebih 500 orang sukarelawan terlibat dalam lebih 25 misi bantuan banjir di kawasan itu bagi membantu lebih 1000 mangsa termasuk membuka Bilik Gerakan Banjir di Bandar Baru Salak Tinggi sebelum ini.
"Alhamdulillah sehingga hari ini Berjasa Sepang telah melakukan persiapan awal dengan menggerakkan jentera bagi memberikan saingan serta impak dalam PRU15.
"Sejak lebih setahun lalu kami telah melakukan banyak program, kerja amal dan bantuan kepada penduduk Parlimen Sepang, khususnya sewaktu musibah banjir Januari lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau menambah, tidak mustahil Berjasa akan membuka mata banyak pihak dengan kemunculan sulung dalam PRU15 di Parlimen Sepang dan bersedia bersaing untuk merebut kerusi Parlimen itu.
"Kita menyedari Berjasa bukanlah parti besar namun Berjasa akan terus berjuang sebagai sebuah parti mewakili suara rakyat hingga dikenali rakan dan lawan di atas pentas politik negara," tambahnya.
Kerusi Parlimen Sepang, yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Sepat, Sungai Pelek dan Dengkil, ketika ini disandang oleh Mohamed Hanipa Maidin daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!