Guna MyKad palsu, wanita warga Filipina dipenjara tiga bulan

Elenita Maisog (kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin kerana menggunakan kad pengenalan palsu sejak 21 tahun lalu.
Elenita Maisog (kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin kerana menggunakan kad pengenalan palsu sejak 21 tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita warga Filipina dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin selepas mengaku bersalah menetap di negara ini menggunakan kad pengenalan palsu sejak 21 tahun lalu.

Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Elenita Maisog, 51, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Kesalahan itu dikesan dilakukan lebih kurang jam 3 petang di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada 9 Jun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati tanpa kuasa yang sah dan sebab munasabah menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Nuria Rahman yang beralamat di Sungai Udang, Melaka.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan merupakan seorang ibu tunggal dan perlu menyara tiga anak masih kecil.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira wanita itu melakukan kesalahan tersebut sejak 21 tahun lalu.

Beliau juga memohon tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selepas selesai tempoh pemenjaraan bagi tujuan pengusiran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 9 Jun lalu.

Difahamkan, JPN berjaya mengesan kesalahan itu selepas tertuduh hadir ke pejabat JPN Melaka untuk proses pendaftaran kelahiran tiga anaknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!