Dua rumah setingkat musnah terbakar
KUALA LUMPUR - Dua buah rumah musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Jinjang Permai 2, Jinjang Utara di sini pada Isnin.
Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba II, Mohamad Hasbullah Naimi Mahmood berkata, pihaknya menerusi Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kira-kira jam 12.05 tengah hari berhubung kejadian itu.
"Seramai 22 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Jinjang, BBP Sentul dan BBP Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Api marak membakar dua buah rumah jenis lot satu tingkat yang dianggarkan berkeluasan 6 x 18 meter persegi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohamad Hasbullah berkata, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dengan kemusnahan kebakaran rumah pertama dianggarkan 70 peratus manakala rumah kedua musnah 10 peratus.
"Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!