Tukang cat dihukum gantung
KOTA BHARU - Seorang tukang cat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, pada Isnin kerana mengedar 186.43 gram dadah jenis methamphetamine di Rantau Panjang pada empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabri Hamzah, 49, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Beliau dalam alasan penghakiman berkata, tertuduh mempunyai pengetahuan berkaitan bahaya dadah dan cemas ketika diserbu oleh pihak polis serta cuba melarikan diri.
“Alasan tertuduh untuk mengambil sarang burung di belakang rumah adalah tidak munasabah. Oleh sebab itu, tertuduh dihukum digantung sampai mati dan dadah berkenaan dilupuskan,” katanya
Menurutnya, mahkamah juga terikat dengan undang-undang yang ada selagi hukuman tidak dipinda di Parlimen.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar 186.43 gram dadah jenis methamphetamine di kawasan semak belakang rumah tidak bernombor di Kampung Tasik Hulu, Gual Sitok, Rantau Panjang pada jam 7 petang, pada 31 Januari 2018.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.
Muhammad Hasif berkata, kesalahan itu adalah yang pertama dilakukan tertuduh yang mempunyai empat anak berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
“Tertuduh kesal dengan kesilapan yang dilakukan dan tidak akan melakukan perbuatan itu pada masa akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!