Jemaah luah rasa syukur dibenarkan rapat saf

Suasana solat zuhor di Masjid Negeri, Negeri Sembilan. (Gambar kecil dari kiri: Ahmad Rijal, Suriah, Ahmad Taufik)
Suasana solat zuhor di Masjid Negeri, Negeri Sembilan. (Gambar kecil dari kiri: Ahmad Rijal, Suriah, Ahmad Taufik)
A
A
A

SEREMBAN - Kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan saf berkuat kuasa Isnin di Negeri Sembilan memberikan rasa syukur dan gembira dalam kalangan jemaah yang hadir menunaikan solat Zuhur di Masjid Negeri di sini.

Imam 1 Masjid Negeri, Ahmad Rijal Ghazali berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang baharu ini diharap dapat mengimarahkan lagi aktiviti di masjid.

"Aktiviti masjid dapat berjalan seperti biasa dengan kapasiti lebih tiga kali ganda jemaah sebelum ini apabila tiada lagi penjarakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Seorang lagi imam, Ahmad Taufik Hamdan berkata, ia merupakan salah satu nikmat yang ALLAH SWT berikan khususnya kepada umat Islam di negeri ini.

"Mudah-mudahan Negeri Sembilan berkat dengan mengimarahkan masjid," katanya.

Jemaah masjid, yang merupakan pengawal peribadi, Mohammad Mat, 48, berharap seluruh masjid di negara ini akan terus meriah seperti sebelumnya dengan kehadiran jemaah pelbagai peringkat umur.

Sementara itu, jemaah wanita, Suriah Sarakam, 55, turut senada dengan Mohammad Mat malah ia adalah yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam.

"Alhamdulillah syukur hari pertama hari ini Negeri Sembilan rapatkan saf itu yang kita tunggu-tunggukan selama ini. Saya rasa bahagia, gembira dan seronok dengan keputusan dari pentadbiran Negeri Sembilan ini," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan Negeri Sembilan membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan saf berkuat kuasa Isnin.

Jemaah bagaimanapun wajib memakai pelitup muka dengan sempurna ketika berada di ruang yang tertutup dan perlu memastikan tidak mempunyai sebarang gejala positif Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!