Sahut seruan haji selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19
KOTA KINABALU - Hasrat menunaikan ibadah haji yang tertangguh sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19 tidak melemahkan semangat pasangan suami isteri meneruskan niat mereka pada tahun ini.
Bisno Sari, 59, dan isterinya, Norhayati Abdullah, 52, tidak menyangka masih berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji selepas menerima panggilan daripada pihak Tabung Haji.
Menurut Bisno, sepatutnya mereka mengerjakan haji pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan selama pandemik melanda dan tahun ini mereka dipanggil sekali lagi untuk tujuan yang sama.
"Sebelum ini saya pernah menerima tawaran untuk mengerjakan haji tetapi saya menolaknya supaya dapat mengerjakan haji bersama isteri dan alhamdulillah pada 2020 kami menerima panggilan dan walaupun tertangguh, kali ini kami berdua dapat mengerjakannya bersama-sama," katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan Tabung Haji, di sini, pada Isnin.
Bisno yang berasal dari Beaufort berkata, disebabkan dunia sebelum ini berdepan pandemik Covid-19, mereka akan lebih berhati-hati ketika menjalani ibadah haji nanti.
"Kita ada rasa bimbang juga dengan jangkitan ketika mengerjakan ibadah tetapi diharap semoga dipermudahkan dan kita pun sentiasa menggunakan pelitup muka untuk elak sebarang jangkitan ketika di sana," katanya.
Sementara itu, seorang lagi jemaah Abdul Rahim Wahid, 32, memaklumkan dia menerima panggilan mengerjakan haji kira-kira dua minggu lalu.
"Agak kelam kabut sedikit dari segi persediaan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan sebagainya namun dari segi persediaan untuk mengerjakan haji, saya sudah bersedia sejak dari dulu lagi," katanya.
Sebagai jemaah muda, Abdul Rahim mengakui ia adalah pengalaman baharu untuknya kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci seperti mengerjakan umrah.
"Insya-ALLAH, semoga perjalanan kami dipermudahkan dan apa yang betul-betul saya mahu adalah haji mabrur," katanya.
Sebelum itu, kumpulan pertama jemaah haji dari Sabah yang terdiri daripada 142 jemaah akan berlepas ke Kuala Lumpur pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!