MB Perak dilantik presiden baharu Pafa
Ketika ditemui pemberita, Ahmad Faizal berkata beliau berbesar hati dengan pelantikan itu, selain berharap momentum kejayaan Perak dapat diteruskan pada musim hadapan dengan sokongan semua pihak termasuk pengurusan terdahulu.
"Saya yakin kerjasama daripada semua pihak termasuk mereka yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun, dapat kita teruskan.
"Malah kita akan mantapkan lagi (pasukan) supaya membawa kejayaan lebih besar, kalau pun tak di peringkat antarabangsa, kekalkan kejayaan di peringkat nasional," katanya di sini.
Pada 28 November lalu, Ahmad Faizal yang juga AdunChenderiang menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan presiden Pafa sepertimana dipersetujui dan dicadangkan anggota gabungan Pafa
.Ahmad Faizal berkata beliau akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah bagi memastikan kemajuan dan pembangunan bola sepak negeri dapat ditingkatkan ke tahap terbaik.
"Sesiapa pun yang pegang jawatan presiden, timbalan presiden atau pengurus sekalipun, itu perkara kedua, yang penting kami berjanji untuk bekerja sebagai satu pasukan dan usaha
kami adalah bagi memantapkan bola sepak negeri ini sendiri," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman dilantik sebagai timbalan presiden Pafa bagi menggantikan Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang dilantik selaku pengurus skuad The Bos Gaurus.
Ahmad Faizal berharap kedua-dua individu itu akan dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya selain berharap ia dapat diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.
"Saya fikir mereka boleh lakukan kerja dengan baik seperti Adly yang sebelum ini bersama pasukan merangkul Piala Malaysia. Namun, kalau gagal kita akan tukar pada bila-bila masa," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!