SPAN titik berat bekalan air bersih berjadual

 Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengingatkan kumpulan operator air di negeri yang terlibat melaksanakan bekalan air berjadual perlu memastikan bekalan air bersih disalurkan secukupnya kepada pengguna sama ada melalui paip agihan atau lori tangki.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, pelaksanaan bekalan air berjadual itu disebabkan kekurangan sumber air mentah berikutan kebanyakan tempat di Semenanjung khususnya kurang menerima taburan hujan dan keadaan tersebut dijangka berlanjutan sehingga bulan depan.

"Sehubungan itu, operator diarahkan untuk menangguhkan kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak kritikal pada ketika ini supaya bekalan air bersih dapat dibekalkan secara berterusan.

"Pada masa sama, mereka (operator) memastikan bekalan air melalui sistem agihan atau loji tangki air kepada pengguna kritikal seperti hospital dan pusat dialisis juga tidak terputus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Charles, semua operator air juga dikehendaki siap siaga dengan jentera, kenderaan, alat kelengkapan dan tenaga kerja bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dalam kadar segera sekiranya berlaku kerosakan loji atau paip pecah.

Menurut beliau, cuaca panas dan kering yang berpanjangan mengakibatkaan sungai dan empangan kekal berhadapan penyusutan paras air dan simpanan yang ketara.

Beberapa Loji Rawatan Air (LRA) pula terpaksa mengurangkan pengeluaran air atau berhenti beroperasi kerana kekurangan sumber air mentah.

"Di Kedah misalnya, kekurangan sumber air mentah di LRA Tupah, LRA Merbok dan LRA Gurun masih berlarutan dan loji-loji tersebut kekal beroperasi pada kadar 50 peratus pengeluaran berbanding keadaan biasa.

Artikel Berkaitan:

"Kesannya, jumlah gangguan bekalan air di kawasan Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun dilaporkan kekal pada 6,000 akaun. Bagaimanapun, bagi mengatasi masalah ini bekalan air melalui lori tangki air dan tangki statik disediakan kepada pengguna," jelasnya.

Sementara itu, bekalan air turut dilaksanakan di Johor seperti di kawasan LRA Lok Heng dan LRA Sungai Gembur di Kota Tinggi yang mana masing-masing melibatkan 4,004 dan 5,168 akaun pengguna.

"Di daerah Kluang, bekalan air berjadual juga dirancang susulan penyusutan paras Empangan Macap dan Sungai Benut yang menjejaskan operasi LRA Simpang Renggam.

"Dijangkakan, sebanyak 10,750 akaun pengguna di kawasan Benut, Pontian serta 15,364 akaun di kawasan Simpang Renggam akan terjejas," ujarnya.

Semalam, operasi LRA Sungai Mersing, Mersing terpaksa dihentikan berikutan paras sungai di bahagian muka sauk loji menyusut ke bawah paras minima.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!