'Cucu saya nak pergi kubur setiap hari'

Zamani (empat kiri) dan Zainol (tiga kiri) menyempurnakan penyerahan sumbangan Kotak Prihatin dan Bayaran Faedah Pengurusan Jenazah serta pencen penakat kepada Aminuddin (tiga kanan), pada Isnin.
Zamani (empat kiri) dan Zainol (tiga kiri) menyempurnakan penyerahan sumbangan Kotak Prihatin dan Bayaran Faedah Pengurusan Jenazah serta pencen penakat kepada Aminuddin (tiga kanan), pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk kepada dua kanak-kanak yang kehilangan ibu mereka selepas wanita itu meninggal dunia memberitahu kedua-dua cucunya itu ingin pergi ke kubur ibu mereka setiap hari.

Aminuddin Abu Othman, 71, berkata, bukan sahaja dua cucunya iaitu Aisyah Sazlan Hakeem, 9, dan Ariq Sazlan Hakeem, 6, tetapi pemergian anak perempuan tunggalnya, Puspasari, 35, akibat kematian mengejut pada 28 Mei lalu sememangnya dirasai oleh seisi keluarga.

"Semasa hayatnya, arwah seorang anak yang menyenangkan keluarga. Jadi pemergiannya amat dirasai," kata warga emas tersebut.

Menurut warga emas itu lagi, bagaimanapun dia dan isterinya, Norsiah Baharom, 64, reda dengan takdir bahawa Puspasari sudah meninggal dunia.

"Saya perlu kuat menghadapi kehidupan selepas arwah tiada lagi demi dua cucu saya.

"Arwah tinggal bersama kami. Kebaikan pada dirinya pasti dirindui selamanya oleh ahli keluarga terutama cucu-cucu saya yang begitu terkesan dengan pemergian ibu mereka.

"Menjelang malam cucu-cucu saya selalu teringatkan ibu mereka dan mereka mahu ke kubur arwah setiap hari," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Amiruddin ditemui di rumahnya di Seksyen 7 di sini sempena penyerahan sumbangan Kotak Prihatin dan Bayaran Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 serta pencen penakat bernilai RM1079.64 sebulan untuk dua anak Allahyarhamah.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor, Zainol Abu.

Sementara itu, Zainol berkata, pencen panakat itu diberikan kepada dua anak Allayarhamah yang menerima sejumlah RM539.85 setiap seorang pada setiap bulan.

"Pencen panakat ini akan dibayar sehingga umur mereka mencecah 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!