‘Mansuh hukuman mati mandatori tidak bermakna tiada hukuman mati’
SHAH ALAM - Pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberi kuasa serta budi bicara penuh hikmah kepada hakim dan mahkamah dalam membuat keputusan lebih wajar berdasarkan kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun, Pengamal Undang-undang, Fadhlina Sidek berkata, terdapat syor lain yang juga penting dalam pembentangan laporan kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori termasuk reformasi penjara, reformasi sistem jenayah dan agenda ‘restorative justice’ (keadilan restoratif).
“Penghapusan hukuman mati mandatori tersebut tidak bermakna tiada lagi hukuman mati di Malaysia.
“Hukuman mati masih ada, tetapi hukuman mati mandatori sahaja yang dihapuskan bagi beberapa kesalahan tertentu,” katanya dalam siaran di Facebook miliknya pada Isnin.
Kerajaan pada Jumaat lalu bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, ia adalah permulaan kepada perjuangan reformasi sistem keadilan jenayah yang lebih sistematik dan efektif bagi menjamin keadilan untuk rakyat.
Menurutnya, keadilan bukan sahaja harus dilaksanakan tetapi mesti dilihat dilaksanakan.
“Apakah rasional di sebalik penghapusan hukuman mandatori ini? Ia adalah berdasarkan laporan kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang telah dibentangkan, mengambil kira syor-syor yang dicadangkan terhadap beberapa kesalahan yang perlu diberikan penelitian dan kajian lanjut.
“Secara prinsipnya, jemaah menteri bersetuju hukuman mati mandatori dihapuskan.
“Prinsip lain yang perlu diberikan perhatian termasuklah ‘proportionality’ (perkadaran) serta ‘constitutionality’ (perlembagaan) yang akan memberikan kesan terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori tersebut,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!