Tiada penerbangan ke Madinah selepas Rabu ini

Syed Saleh (tiga dari kanan) ketika menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium, di sini. Foto Bernama
Syed Saleh (tiga dari kanan) ketika menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium, di sini. Foto Bernama
A
A
A

MAKKAH - Tiada sebarang penerbangan membawa jemaah haji Malaysia akan mendarat di Madinah selepas Rabu ini, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Katanya, jadual penerbangan terakhir ke Madinah ialah pada Rabu ini melibatkan rombongan KT22 manakala rombongan seterusnya (KT23) akan mula mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah bermula 20 Jun ini.

"Setakat ini seramai 4,670 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci menerusi 17 penerbangan. Seramai 2,986 jemaah pula kini masih berada di Madinah manakala 1,684 telah berada di Makkah.

"Jemaah yang telah memakai ihram dari tanah air lagi akan dibawa ke Makkah untuk melakukan umrah pertama, ” katanya kepada pemberita di bangunan yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah, Abraj Al Janadriyah, di sini.

Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata TH telah melakukan persediaan sebaiknya dalam berdepan dengan pelbagai kemungkinan akibat penularan Covid-19 dalam kalangan petugas dan jemaah.

Syed Saleh Syed Abdul Rahman. - Foto Bernama
Syed Saleh Syed Abdul Rahman. - Foto Bernama

Katanya, meskipun bakal berdepan dengan situasi luar jangka, TH telah mengambil langkah pencegahan awal dengan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk segera melakukan saringan ke atas mereka yang menunjukkan simptom wabak itu.

"Memandangkan suasana Covid-19 masih lagi berleluasa, maka kita buat persiapan untuk sebarang kemungkinan jika berlaku jangkitan dalam kalangan jemaah dan petugas. Kita sediakan pusat rawatan dan rehat atau wad isolasi untuk mereka yang dijangkiti.

"Kemudahan itu disediakan di setiap bangunan penginapan dan daripada tiga buah bangunan penginapan jemaah, sebanyak 200 katil telah dipersiapkan,” katanya.

Tambah beliau, pusat kesihatan TH bukan sahaja disediakan di Makkah tetapi juga di Madinah malah setiap maktab (penginapan) telah disediakan pasukan petugas yang terdiri daripada jururawat dan doktor.

"Di Makkah kita juga telah mewujudkan klinik di setiap maktab (penginapan) yang mempunyai kira-kira 2,300 hingga 2,400 jemaah haji.

"Klinik kesihatan ini juga antara usaha untuk menjaga kesihatan jemaah haji tetapi jika mereka memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lebih rapi,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!