Beri kupon makanan satu kesalahan: Bersih

bersih-2
bersih-2
A
A
A

SEREMBAN - Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) berpandangan tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo memberi kupon makanan percuma kepada lima sekolah di Rantau adalah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKP) 1954.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, ini kerana menjamu sesiapa dengan makanan, memberikan wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan.

"Bersih 2.0 berpandangan semua bentuk penjamuan, pengaruh tidak wajar, rasuah dan pengembangan perasaan jahat dan permusuhan daripada kerusi dikosongkan boleh dianggap sebagai kesalahan pilihan raya.

"Justeru, kami berpandangan MP Miri (Teo) telah pun melakukan kesalahan pilihan raya iaitu penjamuan,"katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Teo dilaporkan memberikan kupon makanan percuma berjumlah RM75,000 kepada 300 pelajar miskin daripada lima sekolah dalam kawasan PRK DUN Rantau.

Mengulas lanjut, badan bukan kerajaan (NGO) itu bagaimanapun menyerahkan kepada agensi berkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Ia tertakluk kepada badan penguatkuasa yang berkaitan untuk bertindak terhadap tuduhan ini dan terletak kepada Mahkamah untuk mentafsirkan undang-undang pilihan raya,"katanya.

Sementara itu, Bersih 2.0 turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua pihak mematuhi AKP.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan. Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU14 Dr Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!