Perak intai slot Piala Malaysia

Pemain Perak FC dijangka berada di tahap terbaik menjelang pusingan kedua Liga Premier apabila tampil dengan wajah baharu selepas pembukaan pintu perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga-M). - Foto Perak Football Club
Pemain Perak FC dijangka berada di tahap terbaik menjelang pusingan kedua Liga Premier apabila tampil dengan wajah baharu selepas pembukaan pintu perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga-M). - Foto Perak Football Club
A
A
A

MORAL pemain Perak FC dijangka berada di tahap terbaik menjelang pusingan kedua Liga Premier apabila tampil dengan wajah baharu selepas pembukaan pintu perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga-M).

Bagaimanapun, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah tidak mahu meletakkan impian terlalu tinggi sebaliknya memilih layak ke Piala Malaysia 2022 sebagai sasaran paling realistik.

Berada di kedudukan terakhir dengan negatif tiga mata, Yusri masih optimis yang Perak boleh memintas beberapa pasukan di atas mereka bagi berada dalam kalangan lima pasukan terbaik (tidak termasuk Reserve Team) ke Piala Malaysia 2022.

“Ketika ini saya mahu buat yang terbaik bagi baki sembilan perlawanan dan mahu melihat dari satu ke satu perlawanan.

“Kami kena sedar yang kedudukan Perak masih lagi negatif tiga mata dan paling realistik apa yang kita mampu lakukan ialah mendapatkan slot ke Piala Malaysia.

“Itu mungkin menjadi sasaran utama pasukan kerana dalam sembilan perlawanan ini, sudah pasti pasukan di atas bakal meraih kemenangan serta kekalahan.

“Jadi kami kena ambil kesempatan ini bagi memperbaiki kedudukan pasukan sebelum Liga Premier berakhir September nanti,” katanya.

Untuk rekod, Perak sudah mencatatkan dua kemenangan setakat ini, namun pemotongan sembilan mata ekoran kegagalan melunaskan baki tunggakan gaji selepas dua kali tarikh akhir diberikan.

Mereka gagal menjelaskan pembayaran baki tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta Reserve Team berdasarkan Akuan Berkanun (15 Disember 2021) bagi semua tunggakan setakat November 2021.

Namun, pengurusan baharu Perak telah menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan melunaskan segala tunggakan gaji pemain serta pegawai pada Mei lalu.

Buat masa ini, pengurusan baharu Perak sedang dalam proses menyelesaikan isu sekatan perpindahan dan Yusri berkeyakinan mereka mampu selesaikannya sebelum pintu perpindahan kedua ditutup.

“Saya rasa 14 pemain baharu iaitu semua tonggak tempatan dapat didaftarkan sebelum 24 Jun ini. Pengurusan sedang sedaya upaya bagi memastikan sekatan perpindahan yang kita sedang lalui dapat dibuka.

“Pemain dan pegawai perlu mencapai apa yang kita inginkan selepas pengorbanan dilakukan pengurusan bagi memastikan isu ini boleh diselesaikan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!