Penduduk Sungai Golok, Kelantan saran bina tembok sempadan

Penduduk menggunakan perahu untuk menyeberangi sungai Golok dari kedua-dua negara Malaysia dan Thailand.
Penduduk menggunakan perahu untuk menyeberangi sungai Golok dari kedua-dua negara Malaysia dan Thailand.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cadangan pembinaan tembok sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok, Kelantan dijangka mampu mengekang jenayah penyeludupan barangan terlarang termasuk ganja.

Penduduk Rantau Panjang, Anipa Ramli, 54, berkata, orang ramai di kawasan itu sedia bekerjasama dengan kerajaan sekiranya ditawarkan pampasan setimpal apabila perlu mengosongkan kediaman bagi tujuan pembinaan tembok.

Katanya, pembinaan tembok seperti yang dibina pihak Thailand bukan sahaja mencegah banjir, bahkan mengekang jenayah penyeludupan pelbagai barangan.

“Jika ganja dibenarkan ditanam di Thailand, maka berkemungkinan berlaku penyeludupan.

“Sekiranya tembok dibina, kesemua jenayah penyeludupan dapat dikekang dan membantu pihak berkuasa memperketat kawalan di sempadan,” katanya ketika ditemui di Rantau Panjang di sini, pada Isnin.

Pesara guru yang enggan dikenali berusia 60 tahun berkata, Sungai Golok di sini sudah menjadi laluan kebiasaan buat penduduk tempatan untuk berulang-alik termasuk menziarahi keluarga mereka yang tinggal di seberang sungai wilayah Thailand.

Sungai Golok yang memisahkan negara Thailand dan Malaysia di Rantau Panjang.
Sungai Golok yang memisahkan negara Thailand dan Malaysia di Rantau Panjang.

“Mereka menggunakan perahu untuk menyeberangi sungai dan jika air cetek, boleh berjalan kaki sahaja.

“Apabila ada tembok, akan menyebabkan mereka sukar untuk menyeberangi sungai.

Namun masih ada laluan sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang jika ingin berkunjung ke Thailand,” katanya.Sementara itu, Ahli Jawatan Kuasa Sanggar Suri Malaysia cawangan Kelantan Terengganu, Haris Mahmud berkata, pihak badan bukan kerajaan (NGO) di daerah itu menyokong pembinaan tembok di sempadan negara bagi mengekang penyeludupan.

Haris menunjukkan tembok yang didirikan oleh pihak Thailand di seberang Rantai Panjang.
Haris menunjukkan tembok yang didirikan oleh pihak Thailand di seberang Rantai Panjang.

“Pihak kerajaan dan NGO juga perlu bekerjasama memperhebatkan program untuk para belia bagi mengekang daripada mereka terlibat dengan gejala penagihan dadah seperti ganja.

“Ada dalam perancangan untuk NGO di daerah ini bekerjasama membina dewan komuniti yang menumpukan golongan belia agar bersukan dan tidak terjebak gejala negatif di sempadan termasuk dadah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!