Di sebalik “saya akan kembali...”

A
A
A

*”SAYA akan kembali!” demikian tegas Datuk Seri Najib Razak selepas programnya bersama rakyat di Kuala Terengganu hujung minggu lalu.

Seperti beberapa program beliau di tempat-tempat lain sebelum ini, acara di Negeri Penyu itu juga dikatakan mendapat sambutan hangat daripada rakyat.

Dengan membawa slogan ‘Malu Apa Bossku’, ramailah yang berkerumun untuk bersalaman, dan lebih-lebih lagi untuk berselfie dengan mantan perdana menteri itu.

Dulu semasa menjadi bos di Putrajaya, jangankan berselfie, hendak berdekat dengannya pun tidak berani sebab sentiasa ada pegawai dan juak-juak yang mengawal beliau.

Kini sudah tiada jawatan parti dan hilang jawatan kerajaan, beliau boleh naik motosikal kapcai, boleh mengopi di warung, boleh lepak di mana-mana.

Malah, setelah tiada jawatan apa-apa – dan bergelut dengan pelbagai tuduhan di mahkamah – beliau dianggap pejuang rakyat. Malu apa bossku!

*PERIHAL “saya akan kembali” yang disebut oleh Najib, macam-macamlah orang membuat tafsiran dan andaian. Ada yang kata mantan orang No.1 itu akan kembali semula ke Putrajaya sebagai perdana menteri.

Tetapi, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Armand Azhar Abu Hanifah, tidak melihat mantan bosnya itu akan menjadi PM semula. Katanya jangan silap membaca kenyataan Najib itu.

Artikel Berkaitan:

Kata Armand: “Agenda utama kita sekarang ialah menguatkan UMNO. Biar kita menang (pilihan raya) dahulu. Kita tidak meletakkan siapa bakal menjadi perdana menteri...”

*DALAM pada itu Bendahari UMNO Johor, Md Jais Sarday bersetuju program Najib bertemu rakyat memang ada kesannya.

Dia setuju juga dengan kempen ‘Malu Apa Bossku’, tetapi pemimpin UMNO itu tidak yakin bekas bosnya akan kembali memimpin negara. Beliau mengakui hakikat bahawa “Najib ini ada masalahnya...”

Maka ungkapan “saya akan kembali” bagi orang biasa mungkin bermaksud mantan PM itu memang akan kembali semula ke kediaman beliau di KL selepas acara di Kuala Terengganu.

Adalah hakikat juga ‘Bossku’ akan kembali semula ke mahkamah untuk berdepan 42 pertuduhan melibatkan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

*KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bangga pergerakan tersebut kini berjaya mengumpul 498,391 anak muda Melayu menjadi ahli di seluruh negara.

Katanya, semakin ramai golongan muda kini menyertai UMNO kerana kecewa dengan Pakatan Harapan.

“Orang marah sangat kepada PH (kerana) ‘kencing’ kuat sangat kot. Jadi orang ramai masuk ahli Pemuda UMNO,” kata Asyraf selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dulu orang menolak UMNO kerana menuduh pemimpin-pemimpin parti terbesar Melayu itu ‘kencing’kan orang Melayu. Kini UMNO pula tuduh PH ‘kencing kuat sangat’.

Nampaknya siapa pun memerintah orang Melayu tidak habis-habis kena ‘kencing’. Agaknya itu sebab kita tidak boleh maju seperti orang lain. 24 jam bau hancing!

*CORAT-CORET sidang Dewan Rakyat. YB-YB pembangkang di Parlimen Khamis lalu membidas cadangan Menteri Industri Utama Teresa Kok berhubung penanaman buluh sebagai alternatif kepada kelapa sawit.

Paling menarik ialah sinis Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau), yang mencadangkan penubuhan sebuah lembaga memantau penanaman buluh, dan mencadangkan nama Lembaga Buluh Negara digunakan. Shahidan juga mencadangkan agar akronim ‘Lembu’ digunakan bagi merujuk lembaga itu.

Menjawab cadangan itu, Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata: “Saya setuju, kalau nanti kementerian boleh cadangkan YB (Shahidan) sebagai pengerusi ‘Lembu’ yang pertama.”

Siapa agaknya nanti yang akan sudi menjadi ahli-ahli lembaga pengarah Lembu?

*AKHIR kalam, semenjak dua menjak ini semakin jelas terlihat dan terdengar percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR.

Namun Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbezaan pendapat seperti itu hanyalah isu kecil dan tidak akan menggugat kempen PRK DUN Rantau.

“Benda kecil, kita tumpu pada pilihan raya, perbezaan pendapat kecil boleh, diizinkan... beza pendapat sikit ok tetapi sekarang perlu tumpu PRK Rantau...” kata beliau.

Maka ramai yang berharap semoga kalau benar ada perbezaan pendapat biarlah setakat isu PRK Rantau sahaja... jangan berlaga pendapat dan berlawan angin pada isu-isu parti yang lebih besar. Jangan kencing-mengencing.

TOK PERAK

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!