Otak kita bukannya ‘sampah’

A
A
A

OTAK adalah di antara organ yang paling besar serta begitu kompleks dalam badan manusia. Otak terbina lebih daripada 100 bilion saraf dan berkomunikasi dalam rantaiannya melebihi satu trilion sel yang dikenali sebagai sinaps.

Otak memainkan peranan yang cukup besar untuk menterjemahkan segala kandungan pemikiran seperti persepsi, perasaan, imaginasi, kepercayaan dan sikap seseorang individu.

Otak dan fikiran adalah berhubungan secara sedar dan saling berkait antara satu sama lain. Otak memberi fungsi kepada minda, manakala minda pula menterjemahkan kefungsian otak.

Ini bermakna segala input yang masuk ke dalam otak sama ada baik dan buruk akan memberi kesan kepada kesihatan minda. Bila minda tidak sihat, maka perasaan dan tingkah laku seseorang juga mula terjejas.

Sebetulnya, berapa kerap kita membiarkan orang lain hilangkan ‘mood’ kita untuk meneruskan tugasan harian?. Ramai manusia hari ini kecewa dengan tingkah laku orang lain sama ada di rumah, tempat kerja dan pelbagai tempat awam.

Malah ada juga yang kecewa dengan kandungan bahan yang dikeluarkan oleh televisyen, radio, surat khabar dan pelbagai media lagi.

Kegagalan kita menguruskan hal ini menyebabkan kita terhalang untuk menjadi tenang dan gembira.

Berkaitan hal ini saya begitu tertarik dengan kupasan David J. Pollay menerusi bukunya bertajuk, ‘The Law of The Garbage Truck’.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, ramai dalam kalangan masyarakat hari ini bersikap seperti ‘lori sampah’. Mereka menjalani kehidupan harian penuh dengan ‘sampah’ iaitu; kemarahan, tidak berpuas hati dan kekecewaan.

Jika ‘sampah’ mereka telah penuh, mereka akan mencari tempat untuk membuang ‘sampah’ tersebut. Jika kita biarkan, mereka akan buang ‘sampah’ itu kepada kita.

Justeru, kita tidak perlu bertindak balas terhadap ‘sampah’ yang dibuang kepada kita. Biarkan berlalu begitu sahaja. Jika kita bertindak balas, kita pula yang membuang sampah kepada mereka. Akhirnya budaya sama-sama membuang sampah akan menjadi kelaziman.

Apa yang penting, kita perlu ubah kehidupan kita sendiri dahulu sebelum mengubah orang lain. Justeru, kita harus sentiasa konsisten berbuat baik walaupun digasak dengan ‘sampah.

Berkaitan hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Janganlah kamu mengecilkan perbuatan baik walaupun kecil, meskipun hanya dengan berwajah manis saat menemui saudaramu.” (HR: Muslim).

Malah, ALLAH telah berfirman, “Sesiapa membawa kebaikan, maka dia memperoleh (balasan) yang lebih baik daripadanya, sedang mereka merasa aman daripada kejutan (yang dahsyat) pada hari itu. Dan sesiapa yang membawa kejahatan, maka disungkurkanlah wajah mereka ke dalam neraka. Kamu tidak diberikan balasan melainkan (setimpal) dengan apa yang telah kamu kerjakan” (QS Al-Naml, 27:89-90).

Menurut David J. Pollay lagi, terdapat beberapa saranan yang dikemukakan supaya kita tidak terjebak sebagai ‘Lori sampah’; (1) Kita tidak perlu terganggu dengan perkara negatif yang kita tidak boleh kawal.

(2) Jangan biarkan pengalaman yang buruk sebelum ini mengganggu kita; (3) Jangan memberikan tindak balas terhadap ‘sampah’ yang dibuang kepada kita.

(4) Kita perlu menghargai kelebihan yang ada pada orang lain bukannya memperlekehkan mereka.

(5) Jangan jadi ‘lori sampah’ yang sentiasa melayan berita yang buruk dan sebarkan pula kepada orang lain.

(6) Gunalah tenaga kita untuk lakukan yang terbaik dan sentiasa belajar untuk menghargai orang lain.

(7) Jauhkan diri kita dari zon ‘lori sampah’. Jika tidak, semua perkara yang buruk akan terpalit kepada kita.

(8) Kita harus sama-sama membina zon bebas daripada ‘lori sampah’. Sebetulnya, banyak kisah kehidupan Rasulullah SAW yang kita boleh teladani agar tidak tergolong dalam speasis ‘lori sampah’.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Aku berjalan bersama Rasulullah SAW, Baginda mengenakan selendang dari Najran yang tepinya kasar. Tiba-tiba datang seorang Arab Badwi daripada belakang dan menarik selendang dengan kuat sehingga aku melihat ada bekas tepi hujung selendang di tengkuk Rasulullah SAW kerana kuatnya tarikan Arab Badwi itu.

Kemudian Arab Badwi itu berkata, ‘Wahai Muhammad, perintahkan agar aku diberi sebahagian harta ALLAH yang ada padamu. Aku tidak meminta hartamu, juga harta ayahmu.’ Rasulullah SAW terdiam sejenak ketika mendengar permintaan orang Badwi itu. Lalu Baginda berkata, ‘Benar, semua harta itu kepunyaan ALLAH dan aku adalah hamba-Nya. Kerana kamu sudah berbuat kasar kepadaku, aku harus mendapatkan balasan yang setimpal.’.

Jawab orang Badwi itu ‘Tidak mungkin?.’ Tanya Rasulullah SAW, ‘Kenapa tidak mungkin?’, Jawab orang Badwi, “Kerana Engkau tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.” Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW tersenyum. Baginda kemudian memenuhi keinginan orang Badwi yang menyakiti Baginda." (HR: Bukhari dan Muslim).

Ingatlah!, otak kita bukannya sampah. Suburkan otak kita dengan lambakan keharmonian bukannya ‘sampah’ kekecewaan, dengki, kebencian, buruk sangka serta dendam kesumat. Minda sihat, hidup tenang.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!