Tun Arshad Ayub banyak berjasa kepada sistem pengajian tinggi
KUALA LUMPUR - Negara kehilangan seorang tokoh pendidikan dihormati dan disegani yang banyak berjasa dalam memperkasakan sistem pengajian tinggi apabila pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) Tun Arshad Ayub, 93, menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi.
Allahyarham berkhidmat sebagai Pengarah ITM sejak 1967 sehingga 1975 yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan sepanjang tempoh hampir lapan tahun menerajui institusi pengajian tinggi itu, menyaksikan ITM meraih pelbagai kemajuan dalam melahirkan modal insan Bumiputera sehinggakan Arshad digelar 'arkitek' pembangunan dan perkembangan unggul ITM.
Sepanjang hayatnya, Arshad menabur bakti di UiTM seterusnya dilantik sebagai Pro-Canselor setelah bersara daripada perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 32 tahun.
Allahyarham juga pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri selain pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.
Anak kelahiran Muar, Johor itu juga dilantik sebagai Canselor Universiti Antarabangsa INTI yang pertama pada 2013 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.
Ketika berusia 23 tahun, Allahyarham mula berkhidmat dengan Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) pada September 1951 sebagai Penolong Pegawai Kadet Pembangunan Kampung.
Allahyarham juga aktif berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam dan badan berkanun.
Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM) Datuk Zaini Hassan menyifatkan jasa Allahyarham dalam mendidik anak bangsa sebagai tiada tolok bandingnya.
"Tan Sri Arshad adalah tokoh yang mencipta sejarah dan memberi peluang kepada semua pelajar sama ada yang baik atau kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memperoleh ilmu sehingga mencapai tahap tertinggi (ijazah dan kelayakan profesional).
"Pada hari ini, ramai pemimpin perniagaan di sektor korporat dan sebagainya adalah anak-anak didik ITM, ini (hasil) jasa Allahyarham semasa mengasaskan ITM, beliau memperkenalkan kursus-kursus dalam bidang profesional termasuk peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA),” katanya.
Keluarga Allahyarham menerusi satu kenyataan pagi ini memaklumkan jenazah Allahyarham ketika ini masih berada di hospital.
Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.
Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, Arshad yang pernah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Gaji Harun berada di luar negara untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom (1954-1958) dan IMD Business School, Lausanne, Switzerland (1963).
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!