'Cakap-cakap bola saya sebelum ini disalah erti'

Ciapan Twitter Ahmad Faizal pada Isnin malam.
Ciapan Twitter Ahmad Faizal pada Isnin malam.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf kepada penyokong Harimau Malaya khasnya pemain ke-12.

Ia susulan kenyataannya berkenaan sokongan penyokong menjadi antara punca kekalahan 1-2 skuad negara kepada Bahrain dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu yang disalahertikan.

Sebaliknya, Ahmad Faizal mengulangi pendirian bahawa sokongan padu dalam kalangan penyokong Harimau Malaya sebagai pemain ke-12 penting dan amat dihargai.

"Sorakan dan sokongan para penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai.

"(Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap-cakap bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya," ciapnya menerusi akaun Twitter pada Isnin malam.

Sebelum ini, beberapa media tempatan melaporkan Ahmad Faizal tampil mempertahankan penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias berikutan kesilapan pemain tersebut hingga menyaksikan anak buah Kim Pan-gon tewas 1-2 dalam aksi kumpulan E berkenaan.

Pada masa sama dalam laporan media itu, Ahmad Faizal mendakwa faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton di Stadium Nasional ketika perlawanan berlangsung juga perlu diambil kira berikutan kekalahan tersebut apabila sorakan penyokong secara tiba-tiba menyebabkan pemain Harimau Malaya hilang tumpuan semasa perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!