KPDNHEP tumpaskan cubaan seleweng diesel di Keningau

Penguat kuasa KPDNHEP Sabah melakukan serbuan dan membuat pemeriksaan terhadap kegiatan penyelewengan diesel.
Penguat kuasa KPDNHEP Sabah melakukan serbuan dan membuat pemeriksaan terhadap kegiatan penyelewengan diesel.
A
A
A

KENINGAU - Cubaan menyeleweng 8,300 liter diesel bersubsidi gagal apabila stor simpanan bahan api itu diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah pada malam Isnin.

Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu, seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab terhadap lokasi berkenaan turut ditahan bersama sebuah lori tangki, kenderaan 'prime mover' (kepala lori) dan peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan menyeleweng diesel.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, premis itu tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi terbabit.

"Modus operandi kegiatan ini adalah dengan membeli minyak diesel melalui pengisian ke tangki kenderaan prime mover dan seterusnya memindahkan minyak berkenaan ke dalam lori tangki yang terletak di stor terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi berkenaan.

"Nilai keseluruhan rampasan lebih RM98,000 dan lelaki tempatan terbabit ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Siasatan turut dijalankan terhadap stesen-stesen minyak terlibat sama ada turut bersubahat dengan kegiatan ini," katanya.

Georgie berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.

"Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal," katanya.

Georgie turut menegaskan bahawa kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!