Pulau Pinang catat 4,263 kes HFMD
![Pulau Pinang merekodkan sebanyak 4,263 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sepanjang dari minggu epidemiologi pertama hingga minggu ke-23. (Gambar hiasan) . (Gambar dalam : Norlela)](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/06/14/1805958.jpg)
GEORGETOWN - Pulau Pinang merekodkan sebanyak 4,263 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sepanjang dari minggu epidemiologi pertama hingga minggu ke-23 iaitu peningkatan sebanyak 32 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Pada 2021 ketika negara dilanda pandemik Covid-19, sebanyak 176 kes direkodkan dalam tempoh yang sama.
Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, daerah Barat Daya mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,069 tahun ini berbanding 50 kes pada tahun lalu.
Katanya, ia diikuti Seberang Perai Tengah dengan 896 kes berbanding 54 kes dan Seberang Perai Utara dengan 880 kes berbanding 20 kes pada tahun lalu.
"Daerah Timur Laut mencatatkan 851 kes pada tahun ini berbanding 46 kes tahun lalu manakala Seberang Perai Selatan dengan 567 kes berbanding lapan.
"Pulau Pinang kini kluster HFMD keempat tertinggi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada tahun 2018, Pulau Pinang merekodkan satu kematian akibat HFMD.
Norlela berkata, sehingga Sabtu lalu, 120 premis yang mempunyai kes HFMD telah diarah tutup.
"Kesemua premis itu adalah 49 adalah taska, tadika (38), pra sekolah (17), tabika (10), pusat jagaan (tiga) sekolah (dua) dan lain-lain (satu).
"Daripada jumlah itu, 118 premis telah dibenarkan dibuka semula.
Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengarahkan mana-mana premis yang mempunyai dua kes HFMD ditutup selama enam hari," katanya.
Beliau menambah, jika mengikut akta, premis dikehendaki ditutup selama 10 hari namun JKNPP mengurangkannya kepada enam hari kerana bimbang ibu bapa menghantar anak mereka yang mungkin dijangkiti ke tempat lain.
Katanya lagi, JKNPP mengurangkan tempoh tersebut kerana tempoh inkubasi virus adalah antara tiga hingga lima hari yang mana ia boleh hidup antara tujuh dan 10 hari.
Sehingga Sabtu minggu lalu, sebanyak 82,846 kes HFMD dilaporkan, peningkatan 32 kali ganda berbanding tempoh sama 2021.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika pandemik Covid-19 pada tahun lalu, jumlah penyakit HFMD yang dilaporkan adalah 2,485 kes.
Pada tahun ini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu bagi kes pertama dan kedua, masing-masing kerana komplikasi radang otak (encephalitis) dan sehingga kini masih bawah pemantauan rapi di wad berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!