Program WAR SPRM berjaya libatkan 24,000 murid

Wartawan Sinar Harian, Mohamad Hisyamuddin Ayub (dua, kiri) dan Muhammad Afham Ramli (dua, kanan) menerima anugerah juri kategori media cetak SPRM 2021 di Putrajaya, pada Selasa.
Wartawan Sinar Harian, Mohamad Hisyamuddin Ayub (dua, kiri) dan Muhammad Afham Ramli (dua, kanan) menerima anugerah juri kategori media cetak SPRM 2021 di Putrajaya, pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Wira Anti Rasuah (WAR) yang dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun 2014 berjaya melibatkan lebih 24,000 murid dan 4,100 guru seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah ini sebagai usaha pihaknya untuk mendidik anak-anak bermula dari bangku sekolah sampai ke peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, dengan kerjasama dan kolaborasi Kementerian Pendidikan Malaysia, elemen anti rasuah diperkenalkan dalam buku teks sekolah rendah dan menengah secara berperingkat mulai tahun 2016.

"Nilai-nilai integriti dan bencikan rasuah telah dimasukkan dalam buku teks pendidikan moral Sekolah Jenis Cina dan Tamil, pendidikan sivik, pendidikan Islam serta mata pelajaran Bahasa Melayu.

"Di samping itu, Projek Kedai Jujur telah ditubuhkan di 20 sekolah di mana objektifnya adalah menanamkan nilai integriti secara praktikal dalam kalangan murid," katanya semasa ucapan pada Majlis Anugerah Media SPRM 2021, di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Dalam majlis itu, wartawan Sinar Harian, Mohamad Hisyamuddin Ayub dan Muhammad Afham Ramli menerima Anugerah Juri kategori media cetak SPRM 2021.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mendekati kanak-kanak, pendidikan anti rasuah juga dilancarkan melalui siri animasi popular 'Upin & Ipin: Perangi Rasuah' dan 'BoboiBoy: Sahabat Cilik SPRM'.

Kata Azam, selain daripada Kursus Integriti dan AntiRasuah (KIAR) yang telah dilaporkan akan dijadikan kursus wajib di IPT mulai tahun depan, SPRM juga bergiat dengan memberi nasihat dan memperuntukkan sejumlah dana kepada kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) untuk mereka menjalankan aktiviti meningkatkan kesedaran anti rasuah di kalangan mahasiswa.

"Setakat ini, 118 kelab AMAR telah menganjurkan forum, debat dan pelbagai aktiviti di peringkat IPT di seluruh negara.

"Seterusnya, untuk mendekati masyarakat akar umbi, doa selepas khutbah Jumaat yang disemati dengan mesej anti rasuah telah dilaksanakan di masjid-masjid di seluruh negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!