SPRM rekod 292 kes selesai bicara di mahkamah

Azam menyampaikan ucapan semasa majiis Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021 hari ini. Foto Bernama
Azam menyampaikan ucapan semasa majiis Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan 292 kes yang selesai dibicarakan di mahkamah di seluruh negara pada tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak 1,283 kes perbicaraan rasuah telah dikendalikan di Mahkamah Sesyen dan daripada jumlah kes yang selesai, 266 kes atau 91.1 peratus berakhir dengan sabitan.

Menurutnya, ini menunjukkan peratusan sabitan yang amat membanggakan.

"Di samping itu, sebanyak 152 kes pelucutan harta dikendalikan di mahkamah di mana sejumlah 121 kes permohonan telah selesai.

"117 kes atau 96.7 peratus memihak kepada pendakwa raya dan empat kes atau 2.2 peratus tidak memihak kepada pendakwa raya," katanya katanya semasa ucapan pada Majlis Anugerah Media SPRM 2021, di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Dalam majlis itu, wartawan Sinar Harian, Mohamad Hisyamuddin Ayub dan Muhammad Afham Ramli menerima Anugerah Juri kategori media cetak SPRM 2021.

Mengulas lanjut, tambahnya, dari segi pemulihan aset, jumlah aset yang dilucut hak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun lepas adalah RM5.1 billion di mana RM99.57 peratus adalah dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, bidang kuasa SPRM merangkumi kebertanggungjawaban untuk meneliti dan menyiasat sebarang aduan mahu pun jika dakwaan rasuah itu hanya membabitkan jumlah yang kecil.

"Sekiranya didapati ada sebab yang munasabah menunjukkan berlakunya kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM, kertas siasatan akan dibuka dan setelah selesai siasatan ianya akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Jelas Azam, meski pun pemberian izin untuk mendakwa adalah bergantung kepada budi bicara mutlak Peguam Negara, kekuatan bukti hasil siasatan SPRM membantu dalam keputusan tersebut.

"Sehubungan itu, kejayaan siasatan SPRM boleh juga di ukur dalam kejayaan pendakwaan rasuah dalam mahkamah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!