Lebih 80 peratus kenderaan tidak dilindungi insurans banjir

Statistik daripada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) tahun ini menunjukkan hanya empat peratus daripada rakyat Malaysia telah membeli perlindungan insurans banjir. - Gambar hiasan
Statistik daripada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) tahun ini menunjukkan hanya empat peratus daripada rakyat Malaysia telah membeli perlindungan insurans banjir. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 80 peratus kenderaan yang ditunda oleh syarikat insurans semasa berlaku salah satu bencana banjir di negara ini pada tahun lalu tidak mempunyai perlindungan insurans banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin General Insurance Berhad (AXA), Emmanuel Nivet berkata, hanya 18 peratus sahaja kenderaan yang ditunda itu mempunyai perlindungan banjir.

Menurutnya, statistik daripada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) tahun ini menunjukkan hanya empat peratus daripada rakyat Malaysia telah membeli perlindungan insurans banjir.

Katanya, timbul kebimbangan sekali lagi kepada ramai rakyat Malaysia yang masih belum mendapatkan insurans banjir menjelang musim monsun dan hujan tahun ini kerana banjir berisiko untuk berlaku.

"Di sebalik peningkatan yang agak kecil di kalangan mereka yang membeli perlindungan banjir selepas kejadian banjir tahun lalu, ramai rakyat Malaysia masih kurang perlindungan insurans dan mempunyai kesedaran yang rendah terhadap kepentingan insurans banjir.

"Hakikatnya, seseorang hanya sedar tentang kepentingan perlindungan insurans selepas berlakunya sesuatu insiden bila mereka tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mempunyai cara untuk menggantikan kerugian atau kerosakan mereka," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan, pemikiran seperti itu mesti diubah kerana insurans bukan mengenai ramalan atau pelaburan tetapi langkah bersedia terhadap risiko luar jangkaan dan dapat memberi perlindungan kewangan dan ketenangan minda.

"Insurans banjir adalah suatu keperluan dan adalah penting untuk menginsuranskan kenderaan, kediaman dan harta-harta lain untuk mengurangkan impak kewangan sekiranya berlaku sebarang kecelakaan.

"Oleh kerana banjir adalah perlindungan pilihan di bawah polisi motor komprehensif, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk membeli atau menambah pelan insurans untuk merangkumi bencana banjir atau bencana khas (yang bukan sahaja memberi perlindungan terhadap banjir tetapi terhadap ribut, tanah runtuh dan lain-lain bencana semulajadi)," ujarnya.

Emmanuel menjelaskan, perlindungan banjir AXA untuk kenderaan dan kediaman boleh dilanggan terus dari AXA, ejennya, rakan kongsi dan pasaran insurans.

Menurut beliau, jika berlaku banjir, AXA komited untuk menawarkan segala bantuan kepada pemegang polisi dalam memudahkan proses tuntutan, khidmat penundaan percuma, perkhidmatan talian bebas tol 24 jam dan lain-lain.

Di samping itu, katanya, untuk memupuk kesedaran yang lebih dan penghayatan tentang insurans banjir, AXA telah melancarkan kempen #BeFloodSmart di atas platfom media sosialnya untuk berkongsi tip pendidikan dan maklumat tentang banjir dan perlindungan insurans.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!