KPDNHEP serbu dua gudang, rampas 49,000kg baja bersubsidi
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 43,750 kilogram (kg) baja sebatian bersubsidi dan 5,250kg baja sebatian yang dibungkus semula dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan baja di negeri ini.
Pengarah KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan terbabit adalah hasil risikan yang dijalankan sejak tahun lepas di sekitar Alor Setar.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas dua buah gudang dilakukan pada jam 1.30 petang, Isnin kerana disyaki menyimpan baja bersubsidi manakala serbuan kedua di kawasan Simpang Empat atas kesalahan menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan.
“Dalam serbuan bersama pasukan polis itu, kita menemui 49,000kg baja bersubsidi dalam gudang tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati baja berkenaan disimpan di tempat yang tidak dilesenkan, menyebabkan tindakan diambil bawah Seksyen 20 (1) iaitu menyimpan barang kawalan bukan di premis yang dilesenkan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Selasa.
Affendi berkata, jika disabitkan kesalahan mana-mana orang selain pertubuhan perbadanan didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Affendi memaklumkan, mana-mana pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan terhadap akta itu boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.
“Barangan lain yang turut disita termasuk sebuah lori, dua unit forklift, alat penimbang dan sebuah mesin jahit,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, serbuan di sebuah gudang lagi mendapati premis tersebut mempunyai lesen borong untuk menyimpan baja dengan had simpanan 500 metrik tan baja.
“Bagaimanapun, tindakan telah dibuat kerana didapati premis tersebut tidak menyelenggara buku stok yang merupakan suatu kesalahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Sehubungan itu, jelasnya, siasatan dilakukan di bawah Peraturan 13 (1), Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu pemborong gagal menyelenggara buku stok.
Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP Alor Setar telah menyita dokumen invois dari gudang berkenaan untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!