'Mohon kerajaan negeri adakan dialog dengan penduduk Janda Baik'

Lebih 50 penduduk melakukan bantahan aman mengenai draf RKK dan RTD pada Selasa.
Lebih 50 penduduk melakukan bantahan aman mengenai draf RKK dan RTD pada Selasa.
A
A
A

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri dituntut mengadakan sesi dialog atau perjumpaan bersama penduduk di Janda Baik di sini yang kini gusar dengan draf Rancangan Khas Kawasan (RKK) Janda Baik dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Bentong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menegaskan isu tersebut bukan atas dasar politik sebaliknya demi kepentingan rakyat khususnya penduduk di lokasi pelancongan terkenal tersebut

Menurutnya, penduduk mahukan sesi dialog tersebut dan pemahaman yang jelas mengenai draf tersebut.

"Pada 2018 telah ada perjumpaan bersama pihak berkaitan mengenai perancangan untuk Janda Baik namun bila draf dikeluarkan ia berbeza dengan apa yang dibincangkan.

"Penduduk tidak menolak kemajuan dan bukan melawan pihak kerajaan.

"Ini kerana ada beberapa perkara tidak jelas dan masuk akal, penangguhan pendengaran awam termasuk hari ini (Selasa) menghampakan penduduk terlibat," katanya lagi.

Young Syefura (depan, tga dari kanan) bersama penduduk ketika sesi media di Janda Baik pada Selasa.
Young Syefura (depan, tga dari kanan) bersama penduduk ketika sesi media di Janda Baik pada Selasa.

Beliau ditemui ketika sidang media bersama penduduk Janda Baik di sini pada Selasa.

Lebih 50 penduduk hadir dan melakukan bantahan secara aman mengenai pelaksanaan RKK yang melibatkan 2,985 hektar membabitkan enam buah kampung selain membantah RTD Bentong.

Dakwa beliau lagi, sudah banyak penjelasan diminta daripada pihak terlibat namun tidak menerima sebarang maklum balas sewajarnya.

"Jangan ambil remeh kerana di sini (penduduk) lahir, membesar dan cari rezeki.

"Saya juga akan mengusulkan perkara ini pada sidang Dewan Negeri (DUN) Julai nanti kerana kita mahukan jawapan, dah puas mereka (penduduk) 'jerit' tapi tiada maklum balas," tegasnya.

Penduduk, Rosdina Saripudin, 56, mendakwa, tidak pernah diberikan sebarang penjelasan berkaitan RTD dan RKK serta tujuan sebenar pembangunan di kawasan terlibat.

Rosdina
Rosdina

Dakwanya, sejak isu terbabit dibangkitkan pada Julai 2019, tiada penerangan yang jelas dan terperinci diberikan kepada penduduk terlibat.

“Kami tidak menolak sebarang pembangunan di kawasan perkampungan ini namun melihat draf pembangunan yang diberikan lebih daripada sepatutnya.

“Sebagai contoh, sungai yang ingin dilebarkan sehingga 30 meter sebelah kiri dan kanan serta jalan yang juga akan dibesarkan sehingga 20 meter kiri dan kanan.

“Kami tertanya apakah signifikan di sebalik pelebaran sungai dan jalan raya sehingga menjejaskan tanah dan rumah penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kasimah Ismail, 50, pula berkata, mereka telah beberapa kali menghantar bantahan namun masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak yang terlibat.

“Jangan kata kami fitnah dan hasut. Kami ada bukti setiap bantahan yang dihantar kepada pihak terlibat. Kami cuma minta pihak terlibat turun bertemu penduduk bagi memberi penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Ketari, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak memberitahu, projek yang terkandung dalam draf tersebut masih dalam peringkat cadangan dan bukan dalam peringkat akhir.

Mohd Soffi
Mohd Soffi

Menurutnya, ia memerlukan masa dan perlu berdepan pelbagai proses sebelum ia dilaksanakan.

"Kita masih dalam peringkat awal atau masih peringkat draf pertama.

Sesi pendengaran awam akan dibuat untuk penduduk di Janda Baik bagi mendengar kebimbangan mereka.

"Pembangunan RKK dan RTD perlu dirangka berdasarkan keperluan di Janda Baik dan banyak faktor perlu diambil kira untuk pertimbangan termasuk banjir yang berlaku baru-baru ini," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!