Pemuda mengaku tidak bersalah rompak warga emas, anak

Tular satu video di media sosial, menunjukkan dua suspek menarik rantai leher dan memotong gelang tangan seorang wanita warga emas, sebelum mereka melarikan diri dengan menunggang motosikal bernombor pendaftaran palsu.
Tular satu video di media sosial, menunjukkan dua suspek menarik rantai leher dan memotong gelang tangan seorang wanita warga emas, sebelum mereka melarikan diri dengan menunggang motosikal bernombor pendaftaran palsu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan merompak seorang wanita warga emas dan anak perempuannya, Mac lalu.

Rahmat Hidayat Taswir, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, dia bersama dua lagi rakan yang telah dituduh, didakwa merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata terhadap Shofiah Hamzah, 77, dan anaknya Nor Taibah Taazim, 34, di hadapan sebuah rumah di Cheras di sini pada 26 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh.

Namun beliau berkata, jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara supaya tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin, pendakwaan mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM15,000.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dilepaskan dengan ikat jamin pada tahap yang minimum.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nu'aman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan kes.

Pada 28 April lalu, Sinar Harian melaporkan, dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan menggunakan senjata terhadap seorang wanita warga emas dan anak perempuannya, di hadapan rumah mereka di Bandar Tun Razak, Cheras di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, ketika kejadian warga emas itu ingin keluar makan bersama anaknya sebelum disamun dua lelaki bermotosikal yang bersenjatakan parang.

Berikutan kejadian itu, wanita terbabit mengalami kecederaan luka di tangan serta mengalami kerugian dianggarkan RM25,000.

Katanya, kejadian itu sempat dirakam oleh orang awam dan tular di media sosial, menunjukkan suspek menarik dua rantai leher dan memotong dua gelang tangan mangsa, sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal bernombor pendaftaran palsu.