[VIDEO] Hamid Gurkha meninggal dunia
SHAH ALAM - Pelawak legenda, Hamid Gurkha, 90, menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain pada Selasa.
Hamid Gurkha atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada jam 2.19 petang.
Pemergian pelawak legenda itu disahkan oleh pentadbir akaun laman Facebook Hamid Gurkha dalam satu hantaran pada petang Selasa.
"Assalamualaikum semua peminat Pak Mid. Pak Mid sudah meninggalkan kita semua.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman," menurut hantaran berkenaan.
Hamid yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada tahun 1978 dan isterinya, Timah Abdul Hamid, 80, mendirikan rumah tangga pada April 1957.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia.
Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!