Enam pesawat A380 Super Jumbo Malaysia Airlines masih untuk dijual
MALAYSIA Aviation Group Bhd (MAG) belum membuat sebarang keputusan mengenai status pesawatnya, Airbus A380-800, yang masih untuk dijual, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail.
Beliau berkata, buat masa ini, kesemua enam pesawat super jumbo itu tidak beroperasi.
"Kami sedang berunding dengan pembeli berpotensi. Terdapat pertanyaan dan ia kekal sulit,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Festival Penerbangan Asia 2022 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status enam pesawat A380-800 kumpulan itu.
Izham merupakan antara ahli panel bagi mengupas tajuk 'Flying with confidence - what next for airlines in Asia?' pada festival dua hari bermula hari ini itu.
Pada 12 Julai 2021, MAG, syarikat induk penerbangan nasional, Malaysia Airlines, mengeluarkan notis tender kepada pihak yang berminat untuk membeli pesawat A380 dan/atau komponennya.
Penjualan itu susulan keputusan MAG untuk tidak lagi menggunakan kumpulan pesawat A380 selepas langkah penstrukturan semula yang selesai dilakukan pada Mac 2021.
MAG melaksanakan proses hak dalam menilai penyerahan oleh bakal pembida dan menjangkakan dapat menyelesaikan langkah itu pada suku keempat 2021.
Unit milik penuh MAG, MAB Pesawat Sdn Bhd diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan tender terbuka bagi penjualan pesawat tersebut dan/atau komponennya di mana pihak yang berminat perlu mengemukakan cadangan mereka selewat-lewatnya pada 12 Ogos, 2021.
Selain itu, ketika ditanya mengenai masalah tenaga kerja yang dihadapi industri penerbangan di peringkat global, Izham berkata, ia amat menjejaskan syarikat penerbangan untuk meningkatkan kapasiti mereka.
Beliau berkata, beberapa lapangan terbang antarabangsa menghadapi kekurangan sumber dan oleh yang demikian, syarikat penerbangan tidak dapat meningkatkan kapasiti masing-masing walaupun mempunyai pesawat.
"Sesetengah syarikat penerbangan tidak mengoperasikan pesawat mereka sejak sekian lama (semasa pandemik) dan kini mereka membawanya kembali.
"Ia bukan langkah yang boleh dilakukan sekelip mata kerana memerlukan 30 hingga 90 hari untuk membawa kembali pesawat ke dalam perkhidmatan.
"Itulah cabaran yang syarikat penerbangan hadapi,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia Airlines bernasib baik kerana mempunyai keputusan yang amat bersifat kolektif untuk tidak memberhentikan warga kerja semasa pandemik.
"Apa yang kami lakukan adalah mengurangkan gaji eksekutif kanan untuk menyokong mereka yang berpendapatan lebih rendah...setiap orang kekal dalam keadaan yang baik bersama kami.
"Kita tahu walau macam mana buruk sekalipun situasinya, kita memerlukan mereka apabila pandemik ini berakhir. Kami tidak membiarkan sesiapa pun pergi. MAS terkawal. Kami mempunyai juruterbang...kami ada semuanya,” katanya.
Izham juga berkata, pihaknya berkomunikasi secara aktif dengan pengendali lapangan terbang dan menyifatkan hubungan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga rapat.
Beliau berkata, MAG juga telah membuat keputusan yang amat berhati-hati apabila enggan membiarkan pesawatnya tidak beroperasi untuk jangka masa panjang.
Pada masa ini, MAG mempunyai kumpulan 102 pesawat dan daripada jumlah itu, 87 pesawat adalah di bawah Malaysia Airlines dan bakinya dioperasikan di bawah jenama MASwings dan Firefly’s, katanya.
"MAS bukanlah sebuah syarikat penerbangan yang besar. Semua pesawat kita sebenarnya terbang...ia terbang walaupun semasa pandemik,” katanya.
Izham berkata, MAS menyasar untuk mencapai kapasiti kira-kira 76 peratus pada akhir 2022.
"Kami kini berusaha untuk mencecah 50 peratus (kapasiti). Hari ini, penumpang yang diterbangkan MAS adalah 30 peratus lebih baik berbanding dengan jangkaan kami,” katanya.
Pada April, MAG dilaporkan merancang untuk meningkatkan kapasiti pesawat dengan sebanyak 15 peratus lagi selain daripada 20 peratus tahap pra Covid-19 yang diunjurkan bagi bulan itu, susulan pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April, 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!