[VIDEO] Pengganti Zuraida: Muhyiddin tunggu tarikh jumpa PM
PUTRAJAYA - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menunggu tarikh daripada pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.
Menurutnya, pertemuan itu akan dibuat selepas Ismail Sabri bertemu dengan Zuraida.
"Kita berpendirian Zuraida duduk situ sebagai menteri atas kuota Bersatu, sejak dari dahulu lagi," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilapor berkata, kedudukan Zuraida masih belum dibincangkan.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bagaimanapun Ismail Sabri menegaskan Zuraida masih menteri kabinet dan perlu menjalankan tugas seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.
Sementara itu, ditanya adakah Bersatu mengemukakan muka baharu atau lama sebagai calon pengganti Zuraida, Muhyiddin enggan mengulas lanjut.
"Bila sampai masanya akan tahu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!