Kerajaan akan kaji kos sara hidup pelajar Malaysia di UK, Ireland

Mahdzir (lima dari kiri) menerima memorandum daripada Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland.
Mahdzir (lima dari kiri) menerima memorandum daripada Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan meneliti isu membabitkan kenaikan kos sara hidup pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di United Kingdom (UK) dan Ireland.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi kementerian dan Mara dalam masa terdekat.

Beliau yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke UK turut menerima memorandum mengenai isu tersebut menerusi Pengerusi Kelab UMNO UK dan Ireland, Muhammad Iman Irfan Yahya di London pada Isnin.

"Mereka telah mengemukakan kertas cadangan 30 muka surat mengenai peningkatan elaun sara hidup bagi pelajar tajaan Mara dan juga JPA.

"Saya telah mendengar dengan panjang lebar taklimat yang diberikan oleh Pengerusi Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland mengenai kenaikan kos sara hidup di kota London, Manchester, Edinburg dan juga di Ireland," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mahdzir sebelum itu mengadakan satu sesi sembang santai bersama pemimpin pelajar dari London, Manchester, Wales, Cardif, Edinburg dan Glasgow.

Menurut Mahdzir, memorandum itu disediakan menerusi satu kajian khas yang dilaksanakan oleh Kelab UMNO UK dan Ireland melibatkan seramai 400 pelajar tajaan Mara dan juga agensi yang lain.

Dalam pada itu, Muhammad Iman Irfan berkata, pihaknya mengambil masa selama dua bulan menyiapkan kajian memorandum itu.

"Kami telah unjurkan beberapa cadangan dan beberapa idea untuk dibawa kepada peringkat kementerian.

"Jadi saya harap dengan penyerahan kertas cadangan itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid dapat memperhalusinya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu pelajar di sini," katanya.

Beliau berkata, kos sara hidup pelajar Malaysia di luar negara sangat membebankan dan menjejaskan tumpuan pengajian pelajar yang rata-ratanya adalah daripada kalangan kumpulan B40.

"Elaun sara hidup pelajar Mara ke luar negara perlu dinaikkan segera memandangkan bayaran elaun itu tidak dinaikkan sejak 12 tahun lalu.

"Memang sebahagian besar terpaksa bekerja, masa belajar memang diluangkan untuk bekerja lebih-lebih lagi di London ini, elaun itu memang tidak cukup.

"Kalau nak dibandingkan elaun mereka dengan elaun pelajar tajaan lain memang mempunyai jurang yang jauh," katanya.

Memorandum yang sama turut diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan pihak Mara mengambil serius kandungan memorandum itu untuk menjaga kebajikan pelajar tajaannya bukan sahaja di luar negara tetapi juga di dalam negara.

"Kami di pihak Mara akan menggunakan memorandum tersebut sebagai sebahagian daripada data kita untuk melihat semula kadar elaun sedia ada dan kami akan gunakan juga untuk menyiapkan kertas kerja permohonan untuk mempertimbangkan semula kadar elaun yang sepatutnya.

"Kami akan mohon kepada kerajaan pertimbangkan untuk kita berikan kepada para pelajar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!