MPN setuju Malaysia kembali sebagai negara pertanian
PUTRAJAYA - Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju agar Malaysia kembali menjadi sebuah negara pertanian.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pengimportan bahan makanan.
"MPN juga berbincang mengenai jaminan keselamatan makanan agar Malaysia tidak berdepan dengan detik cemas apabila kerana tidak menyediakan bekalan makanan yang diperlukan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di sini pada Selasa.
Menurutnya, Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Indeks Keselamatan Makanan Global pada tahun lalu iaitu naik sebanyak sembilan anak tangga berbanding tahun 2020 dengan lapan komoditi utama stabil.
"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga menjalankan tindakan intervensi yang berorientasikan pengguna, pengeluar dan perdagangan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara," katanya.
Beliau berkata, antaranya mewujudkan stokpail ayam, semakan prosedur import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan semakan semula tarif elektrik sektor pertanian.
"Majlis berpendapat terdapat keperluan yang mendesak untuk memperkasakan industri input kepada makanan ternakan supaya negara mencapai tahap sara diri (self-sufficiency) dan kos input makanan ternakan terurus dan tidak terjejas akibat faktor luaran," katanya.
Muhyiddin berkata, cadangan (kembali negara pertanian) wajar difikirkan kerajaan agar negara tidak terus bergantung sepenuhnya dengan import bahan makanan ternakan dari luar negara.
"Saya diberitahu oleh Menteri MAFI, Datuk Seri Ronald Kiandee bahawa hampir 500 juta biji kelapa diimport sedangkan kita ada tanaman kelapa. Industri perlu dimajukan semula kerana kelapa semakin meningkat.
"Sektor ternakan, pengeluaran susu boleh ditambah, malah bekalan ayam kita sudah keluarkan sehingga 200 peratus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!