SB’22KL kongsi pengalaman pakar bidang kelestarian

Persidangan SB’22KL yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini bakal menyaksikan perkongsian pengalaman pakar-pakar terkemuka dalam bidang kelestarian.
Persidangan SB’22KL yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini bakal menyaksikan perkongsian pengalaman pakar-pakar terkemuka dalam bidang kelestarian.
A
A
A

SHAH ALAM - Persidangan Sustainable Brands Kuala Lumpur 2022 (SB’22KL) yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini bakal menyaksikan perkongsian pengalaman pakar-pakar terkemuka dalam bidang kelestarian.

Bertemakan ‘Build Back Better - Learning from our past in designing a more sustainable future’, acara itu akan diadakan secara maya untuk tahun kedua berturut-turut dengan menyentuh pandangan menarik tentang kepentingan kemampanan dalam amalan perniagaan moden, meneroka pertimbangan sosial, alam sekitar dan kewangan.

Pengerusi Persidangan yang juga Pengarah Urusan Acacia Blue, Sharmini Nagulan berkata, SB’22KL menghimpunkan pemikir daripada beberapa jenama terbesar dunia, badan bukan kerajaan (NGO) paling berpengaruh, penggubal dasar dan perusahaan sosial untuk berkongsi inovasi, pembelajaran serta amalan seterusnya dengan masyarakat di Malaysia.

 Sharmini Nagulan
Sharmini Nagulan

“Kisah-kisah yang telah membentuk realiti masa kini perlu dipelajari semula untuk mencipta masa depan lebih baik.

“Inilah sebabnya tema SB’22KL tertumpu kepada keperluan mengumpul semua perkara buruk dan baik yang telah dipelajari masa lalu untuk belajar tentang kejayaan dan kegagalan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, persidangan akan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Brands Worldwide, KoAnn Vikoran Skrzyniarz dan Pengerusi Acacia Blue Sdn Bhd, Gerald Miranda.

KoAnn Vikoran Skrzyniarz
KoAnn Vikoran Skrzyniarz

Jelasnya, persidangan itu akan merangkumi topik peranan jenama dan pemasaran dalam kemampanan, membina perniagaan yang bertujuan, pemikiran dan reka bentuk sistem serta penyelesaian berasaskan pembinaan semula biodiversiti dan alam semula jadi dengan lebih baik.

“Antara sorotan pada hari pertama termasuk ceramah mengenai The Drive to Net Positive oleh Andrew Winston (yang merupakan pengarang bersama buku terlaris, Net Positive) dan Planetary Health: Towards A New Development Paradigm oleh Pengarah Eksekutif dan Profesor, Pusat Kesihatan Planet Sunway, Tan Sri Jemilah Mahmood.

“Pada hari kedua, perbincangan panel mengenai ‘Tujuan Perniagaan’ akan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Impak, PopVenture, Kate Byrne dan disertai oleh wakil utama daripada syarikat terkemuka Malaysia,” ujarnya.

Diadakan secara tahunan bermula tahun 2015, Sustainable Brands Kuala Lumpur dianjurkan di bawah naungan Sustainable Brands Worldwide Conference, iaitu komuniti global terbesar yang mengetengahkan golongan inovatif untuk berusaha ke arah memapankan dunia.

Maklumat lanjut mengenai SB’22KL termasuk senarai penuh penceramah boleh didapati di https://sustainablebrandskl.com/.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!