Bahrain sambar slot Piala Asia 2023

Antara aksi menarik Bahrain menentang Turkmenistan dalam perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto FB FAM
Antara aksi menarik Bahrain menentang Turkmenistan dalam perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto FB FAM
A
A
A

BAHRAIN menepati ramalan mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 selaku juara Kumpulan E, selepas menang tipis 1-0 Turkmenistan pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Perlawanan itu bermula sengit apabila Dilmun's Warriors dibimbing Helio Sausa mendominasi permainan, namun sesekali Turkmenistan berjaya mencipta peluang berbahaya hampir meledak gol pembukaan pada minit ketujuh, menerusi rembatan kencang Movlamberdi Goshanov yang melewati palang gol.

Tersentak dengan percubaan itu, Bahrain kembali memperkemaskan rentak permainan dan tampil lebih garang menerusi beberapa siri percubaan yang menyaksikan penjaga gol lawan Mammet Orazmuhammedov ‘sibuk’ mempertahankan gawangnya.

Bagaimanapun, Bahrain berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-23 apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Abdulla Yusuf Helal, selepas Orazmuhammedov menjatuhkan Ali Jaafar Madan dalam perebutan bola 50-50.

Seminit selepas itu, Helal sekali kali lagi hampir menambah jaringan buat Bahrain namun rembatan kencangnya dari sebelah kanan kotak penalti hanya sedikit tersasar.

Karakum Warriors hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama yang menyaksikan percubaan Ahmet Atayev berpunca sepakan penjuru Arslan Amanov berjaya dikeluarkan pemain tengah Ali Abdula Haram dalam kawasan berbahaya.

Bersambung babak kedua, Turkmenistan memulakan perlawanan dengan memperagakan corak permainan yang cukup berbahaya, namun kecekapan Sayed Mohamed Abbas menafikan percubaan Altymyrat Annadurdyyev dan Amanov masing-masing pada minit ke-47 dan ke-48.

Kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan sehingga wisel penamat, namun Turkmenistan memiliki peluang keemasan untuk mengikat kedudukan pada masa kecederaan babak kedua menerusi rembatan Guychmyrat Annagulyev yang berjaya diselamatkan Abbas.

Kemenangan itu menyaksikan Bahrain menamatkan saingan kumpulan dengan rekod tanpa kalah untuk mengumpul sembilan mata sementara Malaysia mengintai peluang mengiringi Bahrain selaku naib juara apabila turun menentang Bangladesh pada aksi terakhir kumpulan di sini, 9 malam ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!