Sultan Johor cadang buka pasar raya untuk rakyat
JOHOR BAHRU - Bukan sahaja sentiasa menyayangi rakyat, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga sentiasa mempunyai pelan bagi memastikan kehidupan seluruh warga negeri ini terbela.
Setelah projek Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ), Sultan Ibrahim sekali lagi tampil dengan idea bernas bagi membela nasib rakyat negeri ini iaitu mahu mewujudkan pasar raya yang boleh menawarkan harga lebih rendah.
Menerusi perkongsian dalam laman Facebook rasminya hari ini, Sultan Ibrahim memberitahu, pihaknya mempunyai cadangan untuk melakukan kerjasama strategik dengan sebuah pasar raya besar untuk beroperasi di Johor.
Menurut baginda, pasar raya itu juga memberi jaminan bahawa mereka boleh menjual barang-barang pada kadar 10 peratus lebih rendah daripada pasaran semasa dengan kualiti yang terbaik.
"Ini akan memudahkan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan barang keperluan asas dan harian pada harga yang murah," titah baginda dalam kenyataan itu, hari ini.
Sultan Johor turut bertitah, pengumuman lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan sendiri baginda dalam tempoh terdekat.
Difahamkan, Sultan Ibrahim ketika ini sedang berada dalam lawatan peribadinya ke sebuah negara di Timur Tengah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!