KTM Keluarga Malaysia KL-Tumpat kembali sempena Aidiladha

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sekali lagi menawarkan Ekspres Khas Keluarga Malaysia (EKKM) bagi perjalanan dari KL Sentral ke Tumpat bermula 8 Julai ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, tawaran itu dibuat berikutan sambutan menggalakkan daripada pengguna Pantai Timur pulang ke kampung menggunakan EKKM semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“KTMB menjangkakan tren ini akan mendapat sambutan yang amat baik seperti mana sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Perkhidmatan tren khas tersebut melibatkan laluan dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

"Sebanyak 516 tiket ditawarkan dengan perkhidmatan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior.

"Tren khas ini juga dilengkapi dengan koc buffet yang menawarkan ruang makan serta koc chillax yang menyediakan ruang untuk aktiviti solat dan santai bersama keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

EKKM akan mula dijual pada 15 Jun bagi perjalanan 8 Julai dan 12 Julai ini menawarkan harga tiket bermula RM55 sehingga RM83 dan tiada tambang konsesi untuk perkhidmatan ini.

Tren ini akan berlepas pada 8 Julai, jam 11 malam dari KL Sentral dan akan berhenti di 16 stesen iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bahru dan Tumpat.

Perkhidmatan ini dijangka tiba di Stesen Tumpat, pada 9 Julai, jam 3.53 petang manakala perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 12 Julai, jam 10.50 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 13 Julai jam 3.04 petang.

Bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity, tiket telah mula dijual sejak 27 Mei lalu melibatkan 32 servis tren ETS dan 22 servis tren KTM Intercity.

Orang ramai dinasihatkan untuk membuat pembelian awal dan mengelakkan pembelian di saat-saat akhir.

Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB serta laman sesawang di www.ktmb.com.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!