Jenazah lima mangsa kemalangan selamat dikebumi
BACHOK - Jenazah lima mangsa kemalangan di kilometer 335 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di Raub, semalam selamat dikebumikan di sini, hari ini.
Jenazah Mohd Sajury Abdullah, 63, isterinya, Sobariah Haron, 54, anak angkat mereka, Uwais Al Qurney, 6, serta anak saudara mereka, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, selamat dikebumikan jam 10 pagi tadi di Kampung Mak Mayong.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Faezuan Nor Izzudin, 27, selamat dikebumikan di Jelawat jam 1.34 pagi tadi.
Ibu Nurul Ilham Najwa, Ramzainiah Haron, 48, berkata, arwah anaknya merupakan anak yang baik serta sentiasa mendengar kata.
Katanya, arwah bersetuju menumpang rumah ibu saudaranya selepas tamat peperiksaan 10 Mac lalu.
"Dia rancang nak ambil ujian memandu dan jalani ibadat puasa juga sambut raya di kampung.
"Tapi dia terlebih dahulu dijemput Ilahi, saya terima ketentuan ini," katanya.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi semalam, kereta Proton Persona yang dinaiki mereka berlima dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh bas ekspres yang membawa 45 penumpang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!