Birmingham 2022: Malaysia mampu realisasi misi tujuh emas

Shahrul Zaman
Shahrul Zaman
A
A
A

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya optimis atlet negara mampu mencapai sasaran tujuh pingat emas pada temasya sukan tersebut.

Beliau berkata, keyakinan itu hadir selepas bertemu dengan wakil daripada persatuan sukan kebangsaan (NSA) terlibat dengan Birmingham 2022, yang dijadual bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini ketika mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya bersama Timbalan CDM, Gerard Monteiro akan melawat atlet di venue latihan dalam masa terdekat untuk melihat secara lebih dekat persediaan mereka.

"Kita akan terus berusaha menaikkan semangat dan memotivasikan mereka untuk mencapai objektif kita dengan membawa pulang tujuh emas dari Birmingham 2022,” katanya kepada pemberita di Wisma OCM pada Selasa.

Sebelum itu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan sasaran tujuh emas tersebut menyamai pencapaian pada edisi lepas di Gold Coast, Australia.

Badminton disasarkan untuk membawa pulang dua emas manakala gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting masing-masing diharapkan untuk meraih sebutir emas.

Pada edisi 2018 di Gold Coast, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas meraih tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa manakala pencapaian emas terbanyak adalah pada edisi New Delhi 2010 apabila membawa pulang 12 emas, 10 perak dan 14 gangsa.

Mengulas mengenai persediaan tuan rumah untuk menganjurkan temasya berkenaan, Shahrul Zaman yang mengadakan lawatan ke Birmingham baru-baru ini berkata, segalanya diuruskan dengan baik dari segi pentadbiran dan pertandingan.

Setakat ini, Jawatankuasa Pemilihan MOM menyenaraikan 95 atlet daripada 12 jenis sukan manakala 11 lagi masih di bawah pertimbangan, merangkumi atlet muda yang mempunyai potensi.

Ia terdiri daripada empat atlet olahraga, badminton (10), berbasikal (6), terjun (11), gimnastik dan gimrama (5), boling padang (10), ragbi (13), renang (2), ping pong (8), skuasy (10), angkat berat (7) dan sukan para (9). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!