PM gembira Harimau Malaya layak ke Piala Asia
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan pemain dan kejurulatihan Harimau Malaya berikutan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Ismail Sabri ketika ditemui selepas perlawanan itu turut berterima kasih kepada penyokong Harimau Malaya yang setia memberikan sokongan padu kepada pasukan negara hingga mampu meraih keputusan positif sepanjang kempen kelayakan kali ini.
“Alhamdulillah syukur penantian pasukan Harimau Malaya berakhir dengan kemenangan dan layak secara merit ke Piala Asia 2023. Tahniah kepada para pemain yang berjuang habis-habisan untuk memastikan kemenangan malam ini
“Terima kasih juga kepada para penyokong Malaysia sama ada yang berada di stadium dan di depan televisyen untuk menyokong pasukan Malaysia meraih kemenangan,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri juga berharap momentum kemenangan dilakar anak buah Kim Pan-gon tersebut diteruskan pada saingan pusingan akhir Piala Asia 2023.
"Saya berdoa para pemain Harimau Malaya, dapat berjuang dengan baik dan meraih kejayaan di Piala Asia nanti,” katanya.
Harimau Malaya mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas mengatasi Bangladesh 4-1 dengan gol pasukan negara dijaringkan Safawi Rasid (16'), Dion Cools (38'), Syafiq Ahmad (47') dan Darren Lok (73') manakala gol The Bengal Tigers kendalian Javier Cabrera dihasilkan Mohammad Ibrahim (31').
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!