Masjid mesra musafir pertama di Kedah

Mohd Firdaus (kanan) dan Setiausaha Masjid Al-Busyra, Johari Husin di pekarangan masjid yang telah dinaik taraf.
Mohd Firdaus (kanan) dan Setiausaha Masjid Al-Busyra, Johari Husin di pekarangan masjid yang telah dinaik taraf.
A
A
A

MERBOK - Masjid berfungsi sebagai medium pertemuan sesama Islam bukan sahaja dalam usaha mengembangkan syiar Islam, malah dijadikan pusat sosial, ekonomi, budaya dan pentadbiran politik pada zaman Rasulullah SAW.

Bertepatan konsep masjid sebagai one stop centre yang menjadi persinggahan dan pertemuan untuk pelbagai tujuan selari dengan saranan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), sebuah masjid di Pekan Merbok, Kedah dinaik taraf bagi memenuhi matlamat tersebut.

Air Telaga Wakaf disediakan buat sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan bekalan air.
Air Telaga Wakaf disediakan buat sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan bekalan air.

Pengerusi dan Imam Masjid Al-Busyra Merbok, Mohd Firdaus Mat Akhir berkata, transformasi dilakukan ke atas masjid lama yang dibina pada tahun 1972 dengan rekaan moden serta diberi nafas baharu sesuai peredaran semasa.

Menurutnya, sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018, beberapa inisiatif telah berjaya dilaksanakan termasuk menaik taraf ruang solat, menambah hiasan seni reka masjid, membina tandas dan food court berkonsepkan ala hentian rehat dan rawat (R&R), perpustakaan mini serta kemudahan tempat letak kereta yang selesa.

Tandas Masjid Al-Busyra yang cantik dan dibina berkonsepkan ala R&R.
Tandas Masjid Al-Busyra yang cantik dan dibina berkonsepkan ala R&R.

“Hasrat saya menjadikan masjid ini sebagai masjid mesra musafir pertama di Kedah hampir terlaksana apabila ia dibina berkonsepkan secara terbuka atau tanpa pagar dengan tujuan mengalu-alukan kedatangan pengunjung.

“Sesiapa sahaja boleh datang dan singgah pada bila-bila masa dan memanfaatkan segala kemudahan yang ada,” katanya.

Jelas Mohd Firdaus, bagi memastikan aspek keselamatan terpelihara, pihaknya menyediakan khidmat pengawal keselamatan dan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Rekaan tandas yang cantik dan bersih berkonsepkan mesra musafir.
Rekaan tandas yang cantik dan bersih berkonsepkan mesra musafir.

“Saya akui sejak dinaik taraf, masjid ini tidak pernah sunyi, malah sentiasa dikunjungi pengunjung dalam dan luar daerah,” katanya.

Menyedari krisis air di Merbok yang tidak berkesudahan, jelasnya, air telaga wakaf turut disediakan bagi anak kariah yang berdepan kesulitan mendapatkan bekalan asas itu.

Mohd Firdaus berkata, beberapa inisiatif lain termasuk penyediaan inap desa dilengkapi kemudahan kolam renang masih dalam proses pembinaan sebagai salah satu tarikan, selain menjana ekonomi masjid.

Car Wash Al-Busyra turut disediakan buat pengunjung masjid yang ingin mencuci kereta.
Car Wash Al-Busyra turut disediakan buat pengunjung masjid yang ingin mencuci kereta.

Jelasnya, pengunjung juga boleh mendapatkan barangan keperluan harian yang dijual di Al-Busyra Mart, yang terletak di dalam kawasan masjid.

“Selain itu, sementara menunggu ahli keluarga menunaikan solat atau mengikuti program kerohanian dan keagamaan, pengunjung boleh mendapatkan khidmat cuci kereta yang ditawarkan di sini,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran pengunjung tidak kurang hebatnya dan lebih meriah pada waktu malam kerana terdapat perkhidmatan menyewa skuter serta kereta kanak-kanak di pekarangan masjid.

Tempat letak kereta yang selesa dan pembinaan masjid tanpa pagar menggamit pengunjung dan sesiapa sahaja untuk singgah.
Tempat letak kereta yang selesa dan pembinaan masjid tanpa pagar menggamit pengunjung dan sesiapa sahaja untuk singgah.

“Kita harap dengan adanya pelbagai aktiviti ini, orang ramai tidak perlu malu untuk singgah kerana kesemuanya disediakan untuk pengunjung,” katanya.

Jelasnya lagi, turut tersenarai dalam fasa terakhir pembinaan ialah Barber Shop, Barista Cafe dan Souvenir Shop.

Mohd Firdaus mengakui kerja-kerja naik taraf melibatkan sebuah masjid lama berusia mencecah 50 tahun kepada sebuah binaan masjid moden dilengkapi pelbagai infrastruktur itu pada mulanya mendapat tentangan ahli jawatankuasa.

Masjid Al-Busyra turut menyediakan perpustakaan mini buat pengunjung.
Masjid Al-Busyra turut menyediakan perpustakaan mini buat pengunjung.

“Bagaimanapun, setelah diberi penjelasan berhubung matlamat dan manfaat yang diperoleh, idea tersebut telah dipersetujui.

“Sehingga kini ia telah melibatkan kos RM1.8 juta yang dibina secara berperingkat dan masih memerlukan sebanyak RM600,000 bagi melengkapkan pembinaan.

“Idea ini sebenarnya telah membuka mata banyak pihak bahawa masjid bukan hanya untuk beribadat dan bersedekah semata-mata, malah dijadikan tempat bersantai dan bersukan, sekali gus mampu menjana ekonomi umat Islam,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu membangunkan fasa terakhir pembinaan Masjid Al-Busyra Merbok boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 5521-8953-2234.

Hentian Rehat Al-Busyra atau 'food court' yang terletak dalam kawasan masjid membolehkan sesiapa sahaja singgah untuk makan.
Hentian Rehat Al-Busyra atau 'food court' yang terletak dalam kawasan masjid membolehkan sesiapa sahaja singgah untuk makan.

'Food court' disediakan buat pengunjung dan musafir yang singgah ke Masjid Al-Busyra.
'Food court' disediakan buat pengunjung dan musafir yang singgah ke Masjid Al-Busyra.

Gambar masjid lama yang dibina pada 1972 sebelum dinaik taraf.
Gambar masjid lama yang dibina pada 1972 sebelum dinaik taraf.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!