Koc sesak, jadual tren tak konsisten
SHAH ALAM - Pengguna pengangkutan awam khasnya melibatkan sistem rel seperti KTM komuter meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya terutama ketika waktu puncak iaitu pada jam 7 hingga 9 pagi.
Selain komuter, tiga lagi perkhidmatan pengangkutan rel di Lembah Klang ialah Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorel Kuala Lumpur.
Tinjauan Sinar Harian di stesen KTM Komuter di sini mendapati, rata-rata penumpang berdepan masalah penjadualan yang tidak konsisten seperti tren sering lewat dan mengambil masa yang lama untuk menunggu ketibaan seterusnya.
Setiausaha Eksekutif Jabatan Audit, Roslin Othman, 40, berkata, dia perlu menunggu dalam 35 minit hingga 40 minit untuk tren tiba dari Stesen Batu Tiga, Shah Alam ke KL Sentral.
Ujar Roslin, perjalanan tren melibatkan 11 stesen itu kebiasaannya mengambil masa dalam 30 minit untuk sampai ke destinasi.
Menurutnya, meskipun kos menaiki tren komuter lebih jimat berbanding menaiki kenderaan sendiri, namun perkhidmatan tren mempunyai beberapa masalah terutama dari segi tempoh masa perjalanan yang diambil untuk pergi ke sesuatu destinasi.
“Kalau naik tren, boleh perasaan bahawa tren komuter sering berhenti sedangkan laluannya lurus sahaja,” ujarnya.
Selain itu, akauntan, Muhammad Ikhwaul Hakim Mohd Ali, 25, mengakui pernah terlewat untuk sampai ke tempat kerja kerana jadual tren yang tidak menentu.
Pemuda itu mengakui, beliau tidak akan menaiki tren pada waktu puncak kerana keadaan tren terlalu sesak dan penuh dengan penumpang lain.
“Setiap hari, saya naik tren jam 7.30 pagi dan 8 pagi, cuma hari ini (Selasa), saya cuba untuk naik pada jam 8.30 pagi pula.
“Memang saya akan terlewat sampai tempat kerja, jadi saya kena kerja lebih masa,” jelasnya.
Sementara itu, pekerja sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Nurul Halawati Azhari, 46, berkata, keadaan dalam tren ketika waktu kemuncak sudah tidak lagi mengamalkan penjarakan sosial terutamanya bagi koc komuter khas untuk kaum hawa.
“Memang la ia (kemudahan koc khas) selamat tetapi kalau berhimpit-himpit sangat pun tidak bagus juga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!