Jadikan satu pengajaran
SITUASI yang berlaku di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu mungkin boleh dianggap sebagai satu detik yang agak memalukan buat Malaysia.
Bukan disebabkan kekalahan 1-2 kepada Bahrain, tetapi keadaan padang yang becak umpama sawah bendang sebelum saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 itu bermula.
Malah, situasi beberapa petugas stadium dilihat menggunakan 'penyodok sampah', getah paip dan kertas kadbod untuk membuang air yang bertakung nyata mengejutkan ramai pihak.
Ketika diminta mengulas situasi itu, Pengarah Pusat Sukan, Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Ekmal Buhary mempunyai pandangan tersendiri.
“Aspek penjagaan padang dan penyelenggaraan di Stadium Nasional sebenarnya telah menepati garis panduan yang betul. Stadium Nasional juga mempunyai sistem perparitan yang baik.
“Cuma pada pandangan saya, kaedah yang digunakan oleh segelintir pihak semasa menguruskan situasi dan mengeluarkan air bertakung di padang dilihat kurang profesional.
“Penggunaan penyodok sampah dan kertas kadbod itu tidak sepatutnya berlaku. Tetapi benda dah terjadi dan berlaku, semua nampak apa yang terjadi malam itu.
“Jadi situasi yang berlaku itu diharapkan dapat membuka mata pihak. Ini semua akan menjadi pengajaran agar tidak berulang lagi," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Pada masa sama, Ekmal memberitahu, aspek penjagaan padang dan penyelenggaraan di Stadium Nasional bukan faktor utama mengakibatkan permukaan padang dalam keadaan kurang baik.
Sebaliknya, beliau berkata, ia disebabkan beberapa faktor lain seperti jadual yang cukup padat apabila kesemua enam perlawanan aksi kelayakan itu dilangsungkan di venue sama.
“Sepatutnya pihak penganjur perlu mengambil kira aspek penjadualan perlawanan dan risiko luar jangkaan seperti cuaca hujan atau faktor-faktor lain.
“Sebaiknya penganjur menyediakan dua venue utama. Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras boleh dijadikan sebagai venue alternatif bagi menjamin kualiti padang di Stadium Nasional.
“Sebagai contoh, ketika aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Johor Bahru pada April lalu yang mana Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai tuan rumah menyediakan dua venue.
“Hanya perlawanan melibatkan JDT berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri manakala aksi lain di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!