Agrobank semai ilmu transaksi tanpa tunai dalam kalangan pelajar
KUALA LUMPUR - Agrobank melancarkan Program Sifar Tunai di kalangan pelajar sekolah bagi memupuk sikap suka menabung serta cermat dalam pengurusan transaksi tanpa tunai (cashless) khususnya untuk mempersiapkan mereka dengan ilmu pengurusan kewangan yang betul di awal usia.
Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank Aminuddin Amenon berkata, program itu dibangunkan dengan meletakkan fokus di peringkat sekolah dengan objektif untuk menyemai budaya pengurusan wang yang betul agar golongan muda lebih bersedia dan bijak menjalankan transaksi secara digital.
"Secara amnya, transaksi tanpa tunai di kalangan rakyat Malaysia kini kian meningkat berikutan gaya pembelian secara dalam talian yang nyata lebih popular kerana ia memudahkan pelanggan membuat bayaran terus tanpa perlu mengeluarkan wang di bank secara fizikal.
"Walaupun konsep transaksi tanpa tunai ini mudah dan cepat, namun tidak dinafikan ia juga turut menyumbang kepada sikap boros disebabkan perbelanjaan yang tidak dipantau atau dikawal dengan baik. Justeru itu, adalah wajar untuk memupuk kesedaran diperingkat awal dengan penglibatan ibu bapa itu sendiri dalam memantau perbelanjaan anak-anak mereka di sekolah,” katanya di majlis pelancaran program itu baru-baru ini.
Program Sifar Tunai Jaringan Dan Jalinan Antara Agrobank Bersama Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMKAKL) merupakan inisiatif sulung Agrobank yang dijalankan dengan kerjasama koperasi sekolah, Koperasi Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur Berhad yang dilantik sebagai ejen kepada Agrobank dalam menyediakan perkhidmatan perbankan kepada komuniti sekolah.
Menerusi program ini, ibu bapa pelajar hanya perlu mendepositkan wang permulaan sebanyak RM50 ke dalam akaun pelajar yang telah disertakan dengan pakej perlindungan kemalangan diri di bawah produk Takaful Kasih Plus-i serta kad debit untuk pelajar.
Beliau berkata, Program Sifar Tunai yang mensasarkan kira-kira 700 pelajar dan kakitangan sekolah akan dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah tersebut secara berperingkat dengan menggunakan transaksi tanpa tunai di kantin, kedai buku dan kelab guru bagi memudahkan pelbagai urus niaga di antara pelajar dan pihak sekolah.
"Pelajar hanya perlu membawa kad debit mereka untuk membeli makanan di kantin sekolah atau pun membeli peralatan persekolahan dan buku-buku di koperasi yang akan dilakukan secara auto debit. Ini juga akan memudahkan ibu bapa bagi mendepositkan wang saku kepada anak-anak mereka dan sekali gus membantu mereka memantau perbelanjaan anak-anak kerana semua transaksi dan penggunaan wang dapat disemak secara dalam talian. Berurusan dalam talian juga meningkatkan disiplin belanjawan pelajar itu sendiri,” tambahnya.
Aminuddin berkata, setakat ini 100 orang pelajar telah membuka akaun deposit di bawah program ini, manakala baki pembukaan akaun bagi 600 orang pelajar dan kakitangan sekolah dijangka mula dilaksanakan bermula pertengahan Jun ini sehingga akhir tahun.
Mengenai Agrobank
Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia.
Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 207 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 140 cawangan, 32 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.
Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!