Rakyat kecewa, penat sistem pengangkutan awam masih lemah

Pengguna Twitter, @mathanamuhilan memuat naik gambar keadaan sesak di stesen LRT Pasar Seni pada pagi Rabu.
Pengguna Twitter, @mathanamuhilan memuat naik gambar keadaan sesak di stesen LRT Pasar Seni pada pagi Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata pengguna meluahkan kekecewaan terhadap sistem pengangkutan awam negara terutamanya Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang masih lemah.

Perkara itu diakui seorang pengguna Twitter dengan nama akaun @mathanamuhilan yang berkongsi beberapa gambar memaparkan situasi orang ramai di LRT Pasar Seni yang sedang beratur menanti ketibaan tren itu sekitar jam 8 pagi tadi.

Menurutnya, beliau sudah penat berdepan dengan keadaan yang sesak berlaku setiap hari.

“Saya telah ratusan kali membuat aduan mengenai sistem pengangkutan awam yang lemah di Malaysia. Saya terlalu penat. Lihat sahaja pemandangan sekarang di Pasar Seni.

“Hari kedua di LRT Pasar Seni, orang ramai beratur naik ke eskalator dari MRT Pasar Seni. Orang ramai mungkin terjatuh di atas eskalator kerana ia agak penuh,” ciapnya.

Ciapannya mendapat perhatian netizen yang turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan awam tersebut.

Antaranya, pengguna Twitter dengan nama @janggut34544893 mempersoalkan mengenai jadual ketibaan tren yang mengambil masa agak lama berbanding sebelum ini.

“5 minit? Apa yang terjadi? Sebelum ini kebiasaannya kalau waktu puncak, 90 saat dah berdesup tren datang,” katanya.

Tidak kurang juga yang meluahkan bahawa isu melibatkan tren lambat, tidak konsisten dan terlalu padat itu adalah masalah yang tidak berkesudahan.

Dalam pada itu, pengguna akaun @awayusof turut menggesa agar pihak berwajib mengambil langkah lebih efisien untuk mengatasi masalah tersebut.

“Tolong cari penyelesaian yang cekap, mesti ada perubahan drastik dalam tempoh enam bulan, jadi kritis,” ciapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!