Mahkamah tolak tuntutan bebaskan Happy, gajah itu bukan 'orang'
NEW YORK - Sebuah mahkamah di New York pada Selasa menolak tuntutan untuk membebaskan seekor gajah dewasa betina dari kurungan haiwan itu di Zoo Bronx.
Mahkamah Rayuan itu juga menolak permohonan Projek Hak-Hak Bukan Manusia (NPR) untuk mendefinisikan haiwan tersebut yang bernama 'Happy' sebagai manusia.
Keputusan yang dibuat mahkamah tersebut dengan keputusan lima orang hakim menyokong dan dua lagi menentang itu menyebabkan gajah berkenaan kekal berada dalam kurungan di Zoo Bronx.
Gajah Asia itu lahir pada tahun 1971 dan tinggal dalam kurungan selama 45 tahun dalam zoo berkenaan.
Menurut pertubuhan itu, haiwan berkenaan harus diiktiraf sebagai 'orang' yang sah dengan hak-hak kebebasan yang dilindungi oleh undang-undang biasa.
Keputusan majoriti diumumkan oleh Ketua Hakim New York, Janet DiFiore mengakui tiada siapa yang mempertikaikan bahawa gajah adalah makhluk bijak dan berhak mendapat penjagaan serta belas kasihan sewajarnya namun, beliau mengesahkan keputusan mahkamah rendah sebelum ini dengan menulis penghakiman bahawa gajah tersebut bukan manusia dan bukannya 'orang' yang dikenakan tahanan haram. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!