Rozali hasrat ceburi politik wakili suara peneroka Felda

Tokoh korporat Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda. - Foto Bernama
Tokoh korporat Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh korporat, Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd itu berkata, hasrat itu timbul selepas mesyuarat agung tahunan Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) semalam, yang mengusulkan untuk persatuan itu mengkaji bagi menubuhkan parti Keluarga Felda SeMalaysia yang akan menjadi suara dan naungan kepada masyarakat peneroka.

"Usul ini akan dibawa ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu hadapan kerana kita mempunyai 17 persatuan di bawah GWGF bagi membincangkan dengan teliti sama ada usul ini dapat dilaksana bagi kebaikan masyarakat Felda dan golongan buruh di Malaysia,” katanya kepada media.

Beliau berkata, parti yang dicadangkan itu lebih kepada berdasarkan parti buruh disebabkan majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.

"Saya rasa masalah yang dihadapi generasi Felda hari ini adalah disebabkan banyak program-program yang dilaksanakan untuk masyarakat Felda tidak menepati sasaran, seperti penyenaraian Felda yang gagal, cadangan penubuhan Felda sebagai Bank Makanan pun tidak terlaksana, malah pelaburan beratus juta ringgit di luar negara juga gagal,” katanya.

Selain itu katanya terma dan syarat-syarat perjanjian tanam semula yang berat sebelah serta masalah buruh yang membebani masyarakat Felda gagal ditangani dengan baik menjadi titik tolak GWGF menubuhkan parti baharu bagi mewakili suara masyarakat peneroka.

"Sebanyak 54 kawasan Parlimen merupakan kawasan-kawasan yang majoriti pengundi-pengundi adalah masyarakat Felda sendiri.

"...dan saya sebagai Presiden GWGF telah diminta untuk bertanding terutamanya di kawasan yang saya telah bangunkan iaitu Felda Bukit Cerakah di Kuala Selangor yang kini dikenali sebagai Bandar Baru Puncak Alam,” kata Rozali yang dibesarkan di Felda Gedangsa, Hulu Selangor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!