Semua murid, guru digalak pakai topeng muka
Guru Besarnya, Mohd Asri A Karim berkata, pemakaian topeng bagi menutup mulut dan hidung itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kita galakkan semua murid dan guru pakai topeng muka untuk hari pertama buka sekolah, Ahad ini. Pemakaian topeng muka ini juga digalakkan oleh PPD. Kita akan agih di sekolah.
"Sekiranya ada murid yang menunjukkan simptom, kita akan bertindak segera," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di SK Tanjung Puteri Resort pada program gotong-royong pasca pencemaran Sungai Kim Kim, hari ini.
Menurutnya, pihak kaunseling sekolah turut telah bersedia berdepan mana-mana kes anak muridnya trauma susulan kejadian 12 Mac lalu itu.
"Setakat ini kita tak ada terima sebarang aduan daripada PIBG berhubung kes murid trauma tapi kalau ada kita akan bantu.
"Sebab kita jangka kalau ada kes trauma ini, murid takut nak ke sekolah tapi belum ada laporan lagi dari ibu bapa," katanya.
Mengimbau detik cemas yang menjejaskan 858 murid dan 70 guru serta kakitangan di sekolah itu, Mohd Asri berkata suasana ketika itu kelam kabut.
"Memang kelam kabut, panik sebab ada yang pengsan dan sesak nafas. Pihak bomba arahkan sekolah dikosongkan dan jam 11 pagi sudah tiada murid.
"Pada 12 Mac itu seramai 56 murid dan seorang guru dihantar ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih. Sehingga petang, 20 murid dikejarkan ke hospital," katanya.
Mengulas tentang tiada penggantian kelas dan tiada anjakan tarikh peperiksaan susulan cuti bencana sebelum ini, Mohd Asri berkata pihaknya melihat jadual anjal sebagai pilihan untuk mengejar silibus.
"Banyak kaedah boleh tangani ketinggalan silibus seminggu itu. Paling mudah kita adakan kelas tambahan atau jadual anjal.
"Kelas tambahan untuk murid UPSR kita dah mula dari bulan lepas lagi dan jadual anjal ini paling fleksibel boleh diaplikasi. Contohnya, mungkin dua waktu kita ubah jadi tiga waktu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!