Soh Wai Ching buru dana demi kekalkan kedudukan
PELARI menara nombor satu dunia Soh Wai Ching sedang berusaha keras mencari dana bagi membolehkannya terus menakluki bangunan pencakar langit di seluruh dunia selepas muncul juara Fight For Air Climb NYC di Penn 1 Plaza, New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Biarpun menduduki ranking teratas dunia dan mencapai pelbagai kejayaan, atlet berusia 27 tahun itu masih tidak mempunyai sokongan yang baik dari segi kewangan untuk mengembangkan lagi kariernya.
Berikutan itu, beliau terpaksa melupakan peluang beraksi di pertandingan The Step Up For MSWA di Central Park Perth, Australia pada 19 Jun ini, dalam misi mengumpul mata ranking supaya kekal di kedudukan pertama.
Namun, ia tidak mematahkan semangat beliau untuk melihat lagi peluang yang baharu apabila mengintai untuk menyertai satu lagi pertandingan di Jerman pada Ogos nanti.
"Baru-baru ini ada yang ingin membantu saya untuk menyertai pertandingan di Perth, namun sudah terlambat kerana penyertaan dalam pertandingan tersebut harus dibuat awal bulan ini.
"Bagaimanapun, tidak mengapa kerana selepas ini masih ada lagi beberapa acara yang membolehkan saya mengumpul mata seterusnya untuk mengekalkan diri sebagai pelari menara nombor satu dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.Wai Ching yang kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu berkata untuk mengekalkan kedudukan terbaik di dunia, beliau perlu mempamerkan prestasi konsisten kerana mata yang diambil kira bagi ranking dunia adalah berdasarkan lapan pertandingan sahaja.
"Mata yang terkumpul setakat ini (daripada lima pertandingan) adalah 574, masih memerlukan tiga lagi pertandingan bagi melengkapkan kedudukan itu,” jelasnya.
Wai Ching yang pernah mencetak namanya dalam buku Guinness World Records selepas mencatat rekod dunia bagi cabaran pendakian tangga menegak dengan melakukan jarak larian 1.295 kilometer (km) dalam tempoh sejam, berkata beliau memerlukan kira-kira RM20,000 dana untuk menampung tiket penerbangan serta kos lain bagi penyertaan ke kejohanan akan datang.
"Di Dubai, saya telah berjumpa dengan beberapa rakyat Malaysia dalam program mempromosikan pelancongan Malaysia dan ada yang berminat untuk menaja. Namun perbincangan lanjut akan diteruskan setelah pulang ke Malaysia pada 26 Jun ini,” katanya.
Beliau juga mahu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai beberapa aktiviti larian menara di Malaysia termasuk perancangan menganjurkan pertandingan Asia Oceania Championship di Malaysia pada Oktober, dengan harapan mendapat sokongan dan belanjawan daripada kementerian itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!