Mayat lelaki jatuh jambatan ditemui
KUANTAN - Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke Sungai Kuantan dari jambatan Jalan Tanah Putih tengah malam Selasa, ditemui pada Rabu.
Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui pada jam 10.15 pagi kira-kira enam kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam.
"Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan diarah ke lokasi bersama Pasukan Penyelamatan Di Air ( PPDA).
"Operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.
Zulfadli berkata, operasi pencarian turut dibantu anjing pengesan.
Kejadian orang terjatuh jambatan itu adalah yang kedua berlaku di daerah ini dalam tempoh empat hari.
Dalam kejadian 11 Jun lalu, seorang wanita berjaya diselamatkan oleh nelayan selepas terjatuh ke Sungai Kuantan dari Jambatan Tanjung Lumpur, kira-kira 5 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!