Lelaki hanyut ditemukan terapung
BAGAN DATUK - Seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Perak berhampiran Jeti Waterfront Bagan Datuk di sini pada Isnin ditemukan terapung.
Mangsa dikenali sebagai Karthikeyan Ayyadurai, 25, ditemui oleh seorang penduduk yang sedang memancing di kawasan sungai berhampiran Kampung Pasang Api di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa ditemui kira-kira jam 7.30 petang dalam keadaan tertiarap dengan lengkap berpakaian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika mangsa keluar bercuti dengan rakan sekerjanya.
"Mangsa terjun sungai untuk mandi sebelum dihanyutkan arus deras.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sebaik menerima laporan berkenaan yang melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Polis Marin," katanya di sini pada Rabu.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Pengecaman mayat telah dibuat oleh rakan sekerjanya yang mengesahkan mangsa adalah individu yang dilaporkan hilang.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!