Hanya 'penyelesaian dua negara' mampu tamat konflik Israel-Palestin

Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution adalah satu-satunya cara menamatkan konflik Israel-Palestin.- Foto AP
Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution adalah satu-satunya cara menamatkan konflik Israel-Palestin.- Foto AP
A
A
A

RAMALLAH - Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution adalah satu-satunya cara menamatkan konflik Israel-Palestin, tegas Perdana Menteri Palestin, Mohammed Ishtaye di sini pada Selasa.

Beliau mengulangi pendirian itu ketika mengadakan pertemuan dengan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) bagi Hal Ehwal Asia Barat, Barbara Leaf, dan timbalannya, Hady Amr, menjelang lawatan Presiden AS Joe Biden ke Timur Tengah pada bulan depan, lapor Xinhua.

Ishtaye memberi taklimat kepada anggota diplomat AS mengenai tindakan peluasan dan unilateral Israel terhadap Palestin, menggesa AS memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan semua tindakan yang dibuat terhadap Palestin, terutamanya melibatkan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.

"Semua usaha mesti dilakukan untuk menghapuskan sebarang halangan terhadap penyelesaian (dua negara) ini, yang paling utama mengenai isu penempatan (Yahudi)," tegas Ishtaye menerusi satu kenyataan rasmi.

Beliau juga menggesa agar AS membuka semula konsulat di Baitulmaqdis Timur, mengeluarkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) daripada senarai keganasan, dan membuka semula pejabat PLO yang ditutup di Washington.

Pada Selasa, Rumah Putih mengumumkan Presiden Joe Biden akan melawat Arab Saudi, Israel dan Tebing Barat sempena siri lawatannya ke Asia Barat pada 13 hingga 16 Julai.

Rakyat Palestin berharap lawatan Biden dapat membantu mengekang pembinaan penempatan haram Israel dan tindakan unilateral lain di wilayah Palestin, yang disifatkan telah menghalang proses damai.

Rundingan damai terakhir antara Israel dan Palestin yang ditaja AS, dihentikan pada Mac 2014 susulan percanggahan pendapat mengenai penubuhan negara Palestin di kawasan yang diduduki Israel pada 1967. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!